Orang laut Sungai Tenom tidak akan berganjak dari pendirian mereka untuk terus mempertahankan tanah adat mereka walaupun ada desas desus masyarakat ini akan dipindahkan ke satu lagi kawasan penempatan di pedalaman Johor, ujar jurucakap Jaringan Orang Asli Seletar Johor, Eddy Salim
“Laut dan pantai menjadi sebahagian daripada budaya hidup kami. Di laut inilah kami cari rezeki. Walaupun kami mungkin akan diberi tanah untuk bertani, memang sukar bagi kami untuk menerima perubahan ini,” katanya.
Beliau juga menyelar sikap beberapa pihak yang mempersoalkan pengazetan “tanah adat” kepada masyarakat Orang Laut.
“Ramai yang tidak faham tentang pentingnya tanah adat kepada orang kami. Di mana lagi akan kami tinggal sekiranya tanah adat dirampas oleh pemaju. Di mana lagi kami akan “ditanam” sekiranya kami tidak ada tanah adat?’ soalnya lagi.
“Sebelum orang Melayu, Cina dan India berhijrah dan menetap di sini, kami sudah pun ada di sini. Kami orang asal di sini. Kenapa hak kami ditidakkan oleh kerajaan?”
“Sebarang pengambilan tanah kami mesti melalui perbincangan dengan kami” ujarnya dalam mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Johor yang membenarkan tanah di Sungai Tenom dimajukan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA)
Eddy juga berkata bukan semua yang bersetuju untuk melepaskan tanah adat mereka malah ada segelintir Orang Laut mempertahankan sedaya mungkin tanah mereka.
Apabila ditanya mengenai kerelaan Orang Laut “melepaskan” tanah adat mereka di Stulang Laut beberapa dekad dulu untuk memberi laluan kepada pembangunan di kawasan itu,
“Oleh kerana tidak ada pelajaran dan pendedahan yang secukupnya, kami tidak dapat mempertahankan tanah adat itu dan terpaksa dilepaskan. Saya dengar ada juga campurtangan Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli,” katanya.
“Sekiranya kami dipindahkan ke kawasan baru, belum tentu tanah itu akan jadi milik kami”
Eddy juga kesal dengan sesetengah pihak yang bertanggapan masyarakat Orang Laut suka berpindah randah.
“Ini tidak tepat. Orang Laut tidak suka berpindah randah. Kami cari rezeki di laut dan pulang ke darat.”
“Kerajaan negeri yang sepatutnya melibatkan semua lapisan rakyat dalam pembangunannya. Mengapa Orang Laut harus dipinggirkan dari menikmati pembangunan?”
“Kenapa tidak kerajaan negeri Johor mewujudkan perkampungan nelayan dan membantu menyusun kembali rumah rumah kami di Sungai Tenom ini?” katanya dengan nada kesal.
Mengenai tindakan selanjutnya yang mungkin diambil oleh Jaringan Orang Asli Seletar, Eddy berkata, pihaknya masih lagi menunggu kata putus daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan kerajaan Negeri Johor.
Eddy yang mewakili sembilan perkampungan Orang Laut di Johor- Kg. Simpang Arang, Gelang Patah, Kg. Sungai Temon, Perling, Kg. Bakar Batu, Perling, Kg. Teluk Jawa, Masai, Kg. Kuala Masai, Masai, Kg. Pasir Puteh, Pasir Gudang, Kg. Teluk Kabong, Pasir Gudang, Kg. Pasir Salam, Sg. Tiram, dan Kg Sungai Papan, Kota Tinggi, menyerahkan memorandum bantahan pencerobohan tanah adat kepada Menteri Besar Johor pada Disember 2011.
Photo by Vijay Kumar Rahman, Citizen Journalist