Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) baru-baru ini telah menyalurkan sedikit bantuan kepada pelatih-pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Mutiara Ganggarak, Wilayah Persekutuan Labuan.
Sumbangan ini telah disalurkan melalui Yayasan PEKEMA yang bergiat aktif dalam memberi bantuan dan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Yayasan PEKEMA dan Naib Presiden PEKEMA, Rozman Datuk Hj. Isli, Yayasan PEKEMA ditubuh lebih sepuluh tahun lalu untuk membantu anak bangsa memperbaiki taraf ekonomi mereka melalui bantuan samada berbentuk kewangan ataupun pendidikan.
Yayasan PEKEMA ini dikawal selia sepenuhnya oleh Persatuan Pengimport Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia.
Yayasan PEKEMA mengumpul dana dari para ahli persatuan sendiri dan juga dari masyarakat yang berkemampuan melalui kutipan amal seperti Pertandingan Golf Amal, Makan Malam Amal dan sebagainya.
“Oleh kerana itu Yayasan PEKEMA akan terus menjalankan amanah ini dengan sebaiknya dan akan bekerjasama dengan mana-mana badan lain yang ingin membantu masyarkat.”, ujar beliau.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian Labuan yang, Datuk Hjh. Aini Hj. Sapar telah memilih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Mutiara Ganggarak kerana ketika ini mereka memerlukan banyak bantuan terutama dalam bentuk kewangan bagi memberikan pembelajaran terbaik kepada pelatih yang kurang upaya ini.
Dalam ucapan aluan Aini, berkata bahawa Pergerakan Wanita UMNO Labuan amat berbesar hati di atas sumbangan dari Yayasan PEKEMA.
PDK Mutiara ini telah memulakan operasi mereka sejak November 2008 di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Pusat pemulihan ini memberi pendidikan dan latihan untuk memantapkan kehidupan harian mereka sebelum kembali bersama masyarakat umum nanti.