36,806 tiket KTMB boleh diperoleh sempena Tahun Baru Cina

36,806 tiket KTMB boleh diperoleh sempena Tahun Baru Cina

Orang ramai masih berpeluang mendapatkan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perjalanan ke Pantai Timur, Selatan, Utara dan Tengah sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Orang ramai masih berpeluang mendapatkan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perjalanan ke Pantai Timur, Selatan, Utara dan Tengah sempena perayaan Tahun Baru Cina.

KTMB dalam satu kenyataan malam ini berkata bagi perjalanan 18 hingga 31 Jan, masih terdapat baki 36,806 tiket yang boleh dibeli di kaunter KTM Intercity di seluruh negara.

Bagi perjalanan sebelum perayaan iaitu 18 hingga 22 Jan, sejumlah 27,000 tiket disediakan dan sehingga 5 petang ini, sebanyak 14,902 tiket pelbagai kelas untuk semua sektor sudah dijual.

Bagi perjalanan mulai 23 hingga 31 Jan, KTMB menyediakan 49,786 tiket dan daripada jumlah itu, sebanyak 22,078 sudah dijual.

KTMB, melalui perkhidmatan KTM Intercity, menawarkan sejumlah 73,786 tiket pelbagai kelas ke semua sektor iaitu Pantai Timur, Selatan, Utara dan Tengah sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 1-300-88-5862. Sementara itu, Express Rail Link (ERL) kini menawarkan pakej penjimatan berkumpulan dan keluarga bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres.

Tambang khas itu boleh didapati secara online menerusi www.KLIAekspres.com dan www.malaysiaairlines.com.

Pakej keluarga berharga RM75 bagi perjalanan sehala untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak (berusia antara 2 hingga 12 tahun), iaitu diskaun sebanyak 25 peratus daripada kadar tambang biasa.

Bagi kumpulan tiga orang atau lebih, mereka berpeluang menikmati penjimatan dengan tambang penjimatan berkumpulan pada kadar RM25 setiap seorang bagi perjalanan sehala (kadar biasa ialah RM35).

Pelanggan boleh membeli tiket secara online mulai 13 Jan bagi perjalanan dari 19 Jan hingga 7 Feb.

Tiket yang dikeluarkan dalam format PDF sah digunakan pada tarikh yang dipilih sahaja. Bagi penjimatan berhubung kedua-dua pakej, sila layari www.KLIAekspres.com.

– Bernama