UTM mahu capai status 50 universiti terbaik dunia

UTM mahu capai status 50 universiti terbaik dunia

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mensasarkan untuk mencapai status universiti global iaitu berada dalam kelompok 50 buah universiti terbaik di dunia menjelang 2020.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mensasarkan untuk mencapai status universiti global iaitu berada dalam  kelompok 50 buah universiti terbaik di dunia menjelang 2020.

Naib Canselornya Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata sasaran itu seiring dengan penarafan terbaru UTM sebagai universiti pertama negara diberi hak autonomi  sebagaimana diumumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Jadi, ini sudah menjadi komitmen kami. 50 terbaik di dunia, Jadi perkara  ini kita telah sama-sama fikirkan dan kita ada perancangan yang jelas apa yang kita nak buat,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama TV di sini baru-baru ini.

Menurut Zaini, apa sahaja yang memberi keuntungan kepada universiti daripada segi impaknya dan jumlah orang yang mahu dilaburkan untuk tujuan tersebut telah dikenal pasti.

See also  Sri KDU’s Arabian Nights musical raises funds for charities

“Dan impaknya pun saya fikir dijangka akan berganda bukan sahaja kepada universiti, tetapi kepada masyarakat, kepada rakyat Malaysia, kepada negara secara keseluruhannya,” tambah beliau.

Katanya, berdasarkan kedudukan universiti ke-419 terbaik dunia pada masa ini, UTM mempunyai strategi tersendiri demi mencapai matlamat itu.

Melalui kuasa autonominya, Zaini berkata, UTM akan mempergunakan sepenuhnya kelebihan itu dengan menguruskan sendiri pentadbiran dan sumber kewangan yang lebih cekap dan berkualiti.

Selain itu, pengambilan mahasiswa sarjana muda dan pascasiswazah dilakukan sendiri dengan mengutamakan kualiti daripada kuantiti.

“Pada pengambilan yang lalu, purata CGPA 3.47, jadi pada tahun ini,  kita mensasarkan 3.60. Jadi ini adalah sasaran kita dan menjelang tahun 2015, kita mensasarkan 3.80,” katanya.

“Itu kualiti mahasiswa yang masuk. Biasanya kualiti yang masuk itu akan  menghasilkan graduan yang lebih baik, yang lebih cemerlang,” tambahnya.

See also  Savvy @ Riana Dutamas: Redefining urban living

Jelas Zaini, UTM juga akan meneruskan Pelan Global UTM 2012-2020 yang telah bermula tahun lepas demi mencapai status globalnya.

Melalui pelan ini, lima teras strategik telah dirangka antaranya —  melaksanakan konsep Universiti Penyelidikan berasaskan keusahawanan, menyediakan suasana pembelajaran yang stimulatif dan berkualiti, serta memperkasa pembangunan organisasi supaya bersifat telus, mantap dan berdaya saing.

Kerajaan sebelum ini telah menyatakan ia komited untuk melihat lima universiti penyelidikan di negara ini mendapat autonomi penuh menjelang 2015.

Ia bertujuan bagi IPTA menarik bakat terbaik di dalam kalangan tenaga  pengajar, pelajar dan pentadbir secara berkesan serta menyediakan insentif yang mengekalkan mereka untuk menyumbang kepada transformasi negara.

– Bernama