Tiga beradik yang disisihkan ibu bapa mereka dan tinggal di rumah kebajikan gembira apabila penantian selama lebih 10 tahun untuk mendapatkan sijil kelahiran berakhir semalam.
Penyelaras Parlimen Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain berkata Nur Afifah Abdul Rahman, 15, dan kembarnya Nur Aini serta adiknya Nur Asma, 12, dari Taman Ria menghadapi masalah kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.
Katanya, mereka juga tidak pernah memasuki alam persekolahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di samping menghadapi masalah kewangan kerana ibu bapa mereka bercerai sejak mereka kecil lagi.
“Nur Afifah dan adik-adiknya ditinggalkan begitu sahaja oleh ibu bapanya sehinggalah diambil Persatuan Kebajikan Kediaman Abu Nur,” katanya kepada pemberita semalam.
Tajul Urus yang juga Ketua Umno Bahagian Merbok berkata sepanjang tinggal di rumah anak yatim di Pengkalan Hulu, Perak itu, tiga beradik itu diberikan pendidikan khas sehingga mereka boleh membaca dan menulis.
Katanya setelah kes tiga beradik itu dimaklumkan kepadanya oleh MIC Bahagian Merbok, beliau telah mendaftarkan nama mereka menerusi program dokumentasi MyDaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) April lalu.
“Akhirnya permohonan mereka diluluskan dan kini JPN sudah mengeluarkan surat beranak sebagai bukti kewarganegaraan mereka,” katanya.
Sementara itu, Nur Aini berkata dia dan adik-adiknya amat bersyukur kerana akhirnya memperolehi dokumen penting itu.
“Lepas ini kami boleh belajar dan bekerja kerana sudah ada dokumen pengenalan diri,” katanya.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Kediaman Abu Nur, Zawiah Lazim pula berkata, pihaknya bercadang menghantar adik beradik terbabit mengikuti latihan kemahiran pada masa akan datang.
“Dengan adanya taraf kewarganegaraan, sekurang-kurangnya mereka boleh berdikari dan mencari pekerjaan yang sesuai apabila keluar dari rumah anak yatim nanti,” katanya.
– Bernama