Sepuluh unit kediaman di tingkat atas Flat Sri Pulau Pinang di Bandar Tun Razak, Cheras terbakar malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata lapan jentera bomba dan 47 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.44 malam.
“Api dapat dikawal sejam selepas bomba tiba di lokasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata api marak dengan cepat kerana ketiadaan ‘tembok api’ di aras paling atas bangunan empat tingkat itu.
Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.
– Bernama