Pemimpin masyarakat India mahu pilihanraya bersih dan adil

KLANG – Pemimpin dari Pakatan dan NGO telah menyeru masyarakat India supaya keluar mengundi dan memastikan supaya pilihanraya umum dijalankan secara adil dan telus.

Pemimpin dari Pakatan dan NGO telah menyeru masyarakat India supaya keluar mengundi dan memastikan supaya pilihanraya umum dijalankan secara adil dan telus.

Mereka menyeru kepada masyarakat India di dalam satu upacara penganugerahan untuk menghargai sumbangan Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Ambiga Sreenevasan baru-baru ini di Jalan Tenku Kelana, Klang.

Ahli dewan undangan negeri untuk kawasan Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar menyatakan tentang kad pengenalan warna hijau yang diberikan kepada segelintir warga asing di Malaysia.

“Kad pengenalan ini akan pupus dalam masa dua tahun, malahan penduduk Malaysia sendiri  yang telah mendiami Malaysia lebih dari berpuluh-puluh tahun  dan telah berkorban untuk pembangunan dan kesejahteraan negara pula hanya diberi kad pengenalan merah, di mana keadilannya,” ujar Xavier.

Beliau juga turut menyeru semua rakyat supaya keluar mengundi dalam pilihanraya akan datang kerana ini adalah hak rakyat.

Presiden Suaram K Arumugam pula menyeru rakyat supaya mempertahankan hak rakyat dan berfikir secara waras dalam memilih pemimpin yang boleh menerajui masyarakat dan kesejahteraan kepada semua dengan samarata.

Ahli parlimen Subang R Sivarasa pula membangkitkan tindakan dua pemimpin di Merlimau, Melaka, Merlimau, yang menghina Ambiga dengan menulis perkataan babi, dan mencurahkan air kencing pada gambar Ambiga.

“lni memperlihatkan tindakan yang tidak beretika dan cuba fikir, sekiranya ini boleh berlaku ke atas Ambiga, apatah lagi kita,”  ujar Sivarasa.

Beliau juga menyatakan kelekaan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada pembinaan sekolah Tamil walaupun peruntukan yang besar telah diberikan bagi sekolah rendah dan menengah.

Majlis ini telah diakhiri dengan pemberian sumbangan kepada beberapa badan NGO dan sekolah-sekolah Tamil di sekitar Selangor.

Rajeswari