Kerajaan akan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu semasa membentangkan usul memansuhkan Proklamasi Darurat pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
“Di atas segalanya, kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan para mahasiswa.
“Dengan itu bagi menghormati hak Perlembagaan mahasiswa dan mahasiswi negara yang telah mencapai umur baligh undang-undang atau ‘age of majority’, kerajaan akan pinda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mereka menjadi ahli parti politik,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan pelajar universiti ditegah sama sekali membawa politik kepartian ke dalam kampus.
Najib berkata kerajaan juga akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor tahun lepas.
Katanya keputusan tersebut menpunyai implikasi terhadap prinsip undang-undang negara. Mahkamah Rayuan baru-baru ini memutuskan Seksyen 15 akta tersebut yang melarang pelajar universiti berpolitik adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
– Bernama