Kerajaan menyediakan perlindungan menyeluruh terhadap kebajikan lebih 400,000 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata melalui Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN), anggota JPAM yang terbabit dalam kemalangan atau kecelakaan ketika menjalankan tugas akan menerima sumbangan yang ditetapkan.
Sumbangan itu bermula dari RM750 bagi cedera ringan sehingga RM30,000 bagi kecedaraan parah, katanya. Bagi kes kematian, pewaris berhak mendapat sumbangan sebanyak RM22,000, katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang), pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dr Mohd Hayati ingin tahu jumlah serta jenis insurans yang dilindungi dan kadar elaun terhadap anggota JPAM.
Lee berkata anggota JPAM yang bertugas layak dibayar elaun mengikut tempoh masa tugasannya.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menetapkan bayaran elaun sebanyak RM4 sejam untuk anggota sukarelawan Pasukan Pertahanan Awam dan RM5.80 sejam untuk pegawai Pasukan Pertahanan Awam.
“Bayaran maksimum yang dibenarkan adalah sehingga 12 jam sehari sekiranya pegawai atau anggota bertugas lebih masa ketika menjalankan tugas bersiap sedia dan operasi,” katanya.
– Bernama