Oleh Zulkiple Ibrahim
Ahmad Jasmon, seorang yang kurang upaya dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, telah berkunjung ke sebuah mesin juruwang otomatik (ATM) untuk mengeluarkan wang di sebuah kompleks membeli-belah di sini.
“Kerana ketika itu ramai orang sedang beratur, saya pun ikut beratur untuk mengeluarkan wang. Setelah tiba giliran saya, orang yang beratur di belakang tiba-tiba mahu memotong barisan seolah-olah saya tidak wujud di depan mesin ATM itu.
“Begitu pahit rasanya, orang itu tidak langsung rasa hormat terhadap individu yang sedang beratur di depannya. Apatah lagi orang yang didepan adalah orang kurang upaya yang menggunakan kerusi roda dan adalah mustahil jika beliau tidak nampak saya,” Ahmad memberitahu penulis baru-baru ini.
“Kalau mereka yang kurang upaya enggan membantu, saya tidak kisah sangat tetapi menjalankan diskriminasi adalah perkara yang lain,” tambh Ahmad.
Tidak menghairankan. Penulis mempunyai pengalaman yang serupa ketika beliau mahu mengeluarkan wang dari ATM di satu hospital di sini. Menurut apa yang pernah dialami penulis, ada segellintir masyarakat yang enggan mengambiltahu tentang mereka yang menggunakan kerusi roda dan situasi-situasi sebegini berlaku setiap hari.
Gambaran di atas adalah antara isu yang dihadapi oleh orang kurang upaya (atau OKU seperti dikenali umum) di negara ini.
Salahguna kemudahan
Sememangnya telah terdengar banyak rungutan mengenai salahguna kemudahan yang disediakan untuk OKU.
Wahab Jamil yang telah kehilangan sebelah kakinya dalam satu kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lepas memberitahu:
“Saya mempunyai isteri yang juga cacat semenjak lahir dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Membeli barangan keperluan di kedai adalah satu perkara mustahil bagi kami suami isteri kerana kebanyakan kedai runcit mempunyai tangga dan tidak boleh digunakan untuk kerusi roda. Satu-satunya tempat yang sesuai bagi kami adalah pasaraya hiper di mana mudah bagi OKU untuk masuk.
“Hipermarket menyediakan ruang parkir bagi OKU tetapi petak-petak ini selalu disalahguna oleh mereka yang lain walaupun ada papan kenyataan yang diletakkan oleh pihak pengurusan hipermarket.
“Kerap kali saya terpaksa meninggalkan kenderaan jauh dari pintu masuk hipermarket dan terpaksa menolak kerusi roda isteri saya masuk ke dalam premis. Kemudian saya terpaksa berulang-alik menolak isteri serta barangan yang kami beli merentasi jarak agak jauh ke kenderaan.
“Sudah tentu ianya akan menjadi lebih mudah jika saya berpeluang menggunakan petak parkir yang disediakan untuk pemandu cacat yang berhampiran dengan pintu masuk. Sedihnya petak parkir ini telah disalahguna oleh mereka yang tidak prihatin terhadap OKU,” keluh beliau.
Mendengar keluhan warga OKU, tidak hairanlah isu petak parkir untuk OKU disalahguna oleh segelintir masyarakat. Begitu juga tandas yamg mempunyai tanda ‘orang di atas kerusi roda’. Kemudahan ini jarang sekali terlepas daripada penyalahgunaan oleh mereka yang upaya.
Akta untuk orang upaya
Parlimen telah meluluskan Akta Orang Kurang Upaya pada 24 Dis, 2007 (Akta 685). Akta ini kemudian diwartakan pada 24 Jan, 2008 dan berkuatkuasa mulai 7 Julai pada tahun yang sama.
Akta ini memberi hak bagi pendaftaran, perlindungan, pemulihan dan pembangunan orang kurang upaya serta kesejahteraan kumpulan ini. Akta ini juga menukarkan konsep OKU dari berasakan kebajikan kepada yang berasaskan hak.
Akta ini memberikan peluang serta taraf dan penglibatan yang sama bagi golongan kelainan upaya sepadan dengan mereka yang normal.
Tetapi adakah akta ini memberikan perlindungan yang secukupnya bagi kemudahan yang disediakan untuk OKU? Wujudkah penalti bagi mereka yang menyalahguna kemudahan seumpama? Runguta
Memang terdapat banyak rungutan terhadap penyalahgunaan kemudahan yang disediakan bagi warga kurang upaya.
Apa kata mereka yang mempunyai pengetahuan tentang Akta ini?
Menurut pandangan peguam-peguam, Akta OKU 2008 hanya semata-mata bercorak pentadbiran dan tidak mempunyai ‘sengat’ kerana ia tidak mengenakan tindakan ke atas mereka yang tidak membuat aduan.
Pengamal undang-undang N. Surenthiran berkata tidak ada penalti dikenakan terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan itu walaupun ia berlaku secara terang.
“Untuk masa ini, sesiapa yang normal yang didapati menyalahguna kemudahan OKU seperti tandas, petak parkir dan lain-lain tidak dikenakan tindakan.
“Pihak berkuasa mahu mendidik pihak awam tetapi ada segelintir ahli masyarakat yang tidak peka terhadap keperluan OKU,” kata beliau.
Surenthiran mengambil contoh ‘Larangan Merokok’ yang begitu berkesan terhadap mereka yang merokok di tempat awam.
“Kenapa tidak dikenakan penalti terhadap mereka yang menyalahguna kemudahan OKU seperti tandas dan petak letak kereta. Hanya dengan cara ini tiada siapa yang berani melanggar peraturan,” tambah beliau.
Aktivis sosial Gurmukh Singh menjelaskan tujuan Akta OKU bukannya untuk ‘menghukum’ tetapi untuk memberi pendidikan kepada semua.
“Bagaimanapun penalti terhadap pihak yang tidak mengadu ada dinyatakan dalam peraturan serta undang-undang kecil yang lain,” katanya.
– Bernama