Bilangan titik panas sentiasa dipantau bagi mengelakkan masalah jerebu berterusan di Lembah Klang, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata pemantauan itu dilakukan melalui imej satelit yang dilaporkan oleh Pusat Khas Meteorologi.
Perkembangan cuaca semasa dan ramalan cuaca terutama ketika musim panas dan kering juga sentiasa dipantau dengan kerjasama erat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, katanya dalam jawapan bertulis kepada Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) hari ini.
Karpal ingin tahu tindakan yang diambil kerajaan bagi mengelakkan masalah jerebu berterusan di seluruh negara khususnya di Lembah Klang.
Uggah berkata tindakan lain adalah melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut yang mudah terbakar memandangkan kebakaran tanah gambut merupakan punca utama jerebu setempat.
Selain itu, katanya, kementerian turut mempertingkatkan penguatkuasaan dan rondaan bagi mengesan sebarang pembakaran terbuka serta pelepasan asap dari kenderaan bermotor.
– Bernama