Sukan SEA: Malaysia tewaskan Thailand 2-1

Sukan SEA: Malaysia tewaskan Thailand 2-1

Skuad negara meraih tiga mata penuh dalam acara bola sepak Sukan SEA apabila menang 2-1 ke atas Thailand di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Jaringan Izzaq Faris Ramlan, enam minit sebelum babak kedua tamat memastikan skuad negara meraih tiga mata penuh dalam acara bola sepak Sukan SEA apabila menang 2-1 ke atas Thailand pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno di sini, malam tadi.

Malah kemenangan itu berjaya menyuntik semangat pasukan bawah-23 tahun ini untuk mencari bekalan terbaik dalam misi seterusnya mengalahkan Kemboja dan tuan rumah pada 13 dan 17 Nov bagi mempertahankan pingat emas negara pada edisi lepas di Vientianne, Laos.

Barisan serangan yang tumpul dan jarang melakukan gerakan menarik pada awal babak, menyebabkan skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke-25 untuk menghasilkan gol pembukaan menerusi penyerang Baddrol Bakhtiar.

Gerakan pantas ketua pasukan negara itu berjaya meledak gol pertama negara dalam saingan Sukan SEA ini selepas mendapat lorongan cantik hasil daripada pertahanan kiri, Asraruddin Putra Omar untuk menumpaskan penjaga gol Thailand, Ukrit Wongmeema.

Malah trio pemain hadapan negara, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Syahrul Azwari Ibrahim dan Baddrol sekali-sekala berjaya mengucar-kacirkan gawang lawan namun beberapa peluang terbaik untuk menambah gol Malaysia gagal menemui penyudah.

Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat bagaimanapun beberapa kali menyelamatkan gawang Malaysia daripada dibolosi termasuk tandukan berbahaya menerusi kapten Thailand, Ronnachai Rangsiyo yang hampir merobek kekentalan gawang negara pada minit ke-32.

See also  GameOn Theme Park opens its largest indoor venue at Melawati Mall

Tidak mahu mengaku kalah, pemain tengah Thai, Kroekrit Thawikan yang bergandingan dengan penyerang Adisak Krisorn sering kali membuat serangan balas dan turut bertindak mengucar-kacirkan benteng negara yang dijaga Mahali Jasuli, Mohd Fadhli Mohd Shas, Mohamad Muslim Ahmad dan Mohd Asraruddin Putra Omar dan mereka hampir beberapa kali mendapat peluang untuk mengimbangi kedudukan tersebut.

Malaysia hampir menambah gol kedua dua minit sebelum babak pertama tamat apabila hantaran lintang pemain tengah Mohamad Fandi Othman ke gawang ditanduk kemas oleh Mohd Irfan Fazail tetapi tandukannya tersasar sedikit dari tiang lawan.

Berselang lapan minit babak kedua berlangsung, skuad negara terpaksa membuat pertukaran apabila pemain muda berusia 17 tahun, Mohd Nazmi Faiz Mansor yang mempamerkan aksi cemerlang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan yang memaksa K. Gurusamy menggantikan posisi beliau.

Malaysia dilihat banyak membuat percubaan serangan di mana gandingan Wan Zaharulnizam dan Syahrul Azwari di hadapan sering kali berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan masing-masing hampir mencipta jaringan ketiga buat Malaysia.

See also  Jameson’s Jingle in the Court: A Christmas bash like no other

Keghairahan pemain negara mengasak skuad bimbingan Prapol Pongpanich akhirnya dihukum akibat kesilapan pertahanan negara, Asrarudin Putra Omar gagal membuang bola sekaligus dimanfaatkan pemain gantian Thailand, Natarid Thammroddodpon untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-76.

Tersentak dengan keadaan itu, Ong Kim Swee lantas menukar percaturan dengan menurunkan Izzaq Faris bagi menggantikan Wan Zaharulnizam pada minit ke-80.

Ia nyata berbaloi apabila selang empat minit kemudian Izzaq Faris menjadi penyelamat negara apabila sepakan kencangnya dalam kotak penalti pada minit ke-84 berjaya menjarakkan perbezaan mata buat pasukan negara sehinggalah wisel penamat ditiup oleh pengadil Jepun, Tojo Minoru. Senarai pemain: MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Mohd Fadhli Mohd Shas, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mohd Irfan Fazail (Ahmad Fakhri Saarani), Muhd Nazmi Faiz Mansor (K.Gurusamy), Mohamad Fandi Othman, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Izzaq Faris Ramlan), Syahrul Azwari Ibrahim, Baddrol Bakhtiar. THAILAND: Ukrit Wongmeema, Weerawut Kayem, Chalermsak Kaewsooktae, Sutjarit Jantakol, Komkrit Cumsokcheak, Sarach Yooyen, Kroekrit Thawikan, Phonlawut Donchui (Natarid Thammroddodpon), Pokklaw A-Nan (Isarapong Lilakron), Adisak Krisorn, Ronnachai Rangsiyo.

– Bernama