BSN akan lantik 1,500 ejen di seluruh negara

BSN akan lantik 1,500 ejen di seluruh negara

BSN akan melantik 1,500 ejennya di kalangan pekedai untuk melakukan transaksi perbankan dalam usaha memberikan perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar.

Bank Simpanan Nasional (BSN) akan melantik 1,500 ejennya di kalangan pekedai untuk melakukan transaksi perbankan dalam usaha memberikan perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning menjangkakan pelantikan kesemua 1,500 ejen itu dapat dilakukan pada Januari tahun depan.

“Projek ini mempunyai tempoh masa tiga tahun dan melibatkan kos RM30 juta,” katanya kepada pemberita selepas perasmian cawangan BSN yang pertama di kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan yang ke-23 di seluruh negara.

Majlis perasmian telah dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang juga anggota Parlimen Tasek Gelugor.

Setakat ini, Adinan berkata BSN tidak mempunyai perancangan untuk membuka atau menambah cawangan baharu sebaliknya memberi fokus kepada perlantikan ejennya untuk kawasan-kawasan luar bandar.

See also  Discover exclusive luxury at ViO Banj’ran in Seremban 2

“Cawangan baharu hanya akan dibuka sekiranya ia benar-benar diperlukan dan setakat ini tiada perancangan lagi untuk membuka cawangan baharu,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan model itu selari dengan peranan bank itu yang perlu beroperasi sebagai sebuah bank simpanan dan pada masa yang sama memenuhi mandat sosial yang diberikan oleh kerajaan.

Katanya fokus BSN adalah untuk memberi kemudahan dan akses perbankan asas kepada segenap lapisan komuniti di negara ini.

– Bernama