Presiden majlis belia: AUKU perlu ‘dibaiki’

Presiden majlis belia: AUKU perlu ‘dibaiki’

Beberapa pemimpin pertubuhan belia berpendapat pindaan harus dibuat terutama bagi memperjelas persoalan berhubung hak pelajar berpolitik.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 disifatkan masih relevan, namun beberapa penambahbaikan perlu dilaksana bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beberapa pemimpin pertubuhan belia berpendapat pindaan harus dibuat terutama bagi memperjelas persoalan berhubung hak pelajar berpolitik, kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, yang kini dianggap tersekat.

Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed berkata beberapa peruntukan AUKU perlu diteliti semula agar dapat diperjelas dan memastikan tidak ada tafsiran berbeza terhadap sebarang peruntukan di bawah akta berkenaan.

“Sekarang keputusan yang dibuat berhubung AUKU tertakluk kepada bagaimana tafsiran akta itu dibuat… mahkamah ada tafsirannya, dan universiti ada sudut pandangannya sendiri,” katanya kepada Bernama.

Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur semalam mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, yang melarang mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan dalam aktiviti politik, sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim diketuai Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan seksyen itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

See also  Porous Campus Model: Bridging industry and academic innovation

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Syed Anuar Syed Mohamad pula berpendapat AUKU tidak wajar dimansuhkan kerana perlu ada undang-undang bagi mengawal pergerakan serta penglibatan pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Jika mereka diberi kebebasan sepenuhnya, kita khuatir ada pula pelajar IPT yang bertanding sebagai anggota Parlimen, ini sudah lari daripada asas sebenarnya dan akan mengganggu fokusnya sebagai pelajar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pindaan perlu dilakukan bagi memberi sedikit kelonggaran kepada pelajar untuk ‘bergerak’ dalam politik.

Beliau berkata pandangan dan input pelbagai pihak perlu diperoleh ketika kerajaan meneliti semula akta itu bagi memastikan pindaan yang dilakukan kelak adalah yang terbaik.

Setiausaha Agung Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Ahmad Ansor Mohd Rivai Batubara pula berkata penuntut IPT tidak seharusnya diberi kebebasan total dalam berpolitik, tetapi pada masa sama, suara dan pandangan mereka tidak boleh dikongkong keterlaluan.

See also  Rethinking education: Learning with joy, purpose, and empathy

“Kalau terlalu bebas, kita risau akan wujudnya ‘elemen subversif’, tetapi pelajar tidak boleh didakwa atas kesalahan berpolitik, jadi ada klausa yang perlu ditambah (dalam akta),” katanya.

Beliau juga menolak andaian bahawa pengecualian untuk terlibat dalam politik, jika diberikan, akan menyebabkan pelajar terlalu bebas dan menimbulkan kecenderungan untuk bertindak agresif dalam berpolitik, termasuk mengadakan demonstrasi haram.

“Menurut statistik, tidak lebih daripada 10 peratus daripada penuntut IPT yang berminat untuk berpolitik, yang lainnya ‘berpendirian bebas’ atau sekadar menjadi ‘pengikut,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, apa yang lebih penting, dengan memberi kebebasan berpolitik akan melahirkan lebih ramai penuntut yang matang dan berani untuk bersuara serta menyatakan pendapat mereka.

Katanya, membenarkan penuntut IPT terlibat dalam politik juga merupakan suatu proses ‘peremajaan pemimpin’ selain memberi pendedahan awal kepada generasi muda selaku pemimpin masa depan.

– Bernama