Penduduk derita akibat pembakaran terbuka

Penduduk derita akibat pembakaran terbuka

Penduduk Taman Subang Intan mempersoalkan tindakan pembakaran terbuka sebuah tempat pelupusan sisa kilang sekaligus menyebabkan mereka terpaksa menderita menghidu bau busuk sejak Mac lalu.

Penduduk Taman Subang Intan dan apartmen Flora U5 mempersoalkan tindakan pembakaran terbuka sebuah tempat pelupusan sisa kilang sekaligus menyebabkan mereka terpaksa menderita menghidu bau busuk sejak Mac lalu.

Pengerusi persatuan penduduknya, Mohd Ismail Othman berkata, sebelum ini pihak berkuasa pernah mengambil tindakan pada tahun lalu namun kegiatan muncul kembali sejak Mac tahun ini.

Menurutnya penduduk kini bimbang berikutan keputusan pemeriksaan yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini mengesahkan asap yang terhasil boleh memudaratkan penduduk.

“Pembakaran bahan buang itu akan dibuat pada waktu malam bagi mengelak ia dapat dikesan namun asap yang terhasil gagal menyembunyikan aktiviti tersebut,” katanya dihubungi Komunitikini hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian  pada Selasa lalu, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, S Sivarajan berkata, pihak penguatkuasaan MBSA telah beberapa kali mengeluarkan kompaun kepada individu terlibat namun sehingga kini ia masih terus beroperasi.

“Sekiranya tindakan ini berlaku lagi, kita akan menyita peralatan termasuk kenderaan digunakan individu tersebut namun kita masih mengharapkan kerjasama Syabas untuk memasang pagar kawasan ini bagi mengelakkan ia diceroboh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Komunikasi Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som menegaskan Syabas tidak mempunyai kuasa untuk memagar kawasan tersebut.

“Tanah rizab itu adalah milik kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun pejabat daerah.

“Setakat ini Syabas tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan kawasan tanah rizab di situ.