Pengamal media disaran tubuhkan ‘unit agama’

Pengamal media disaran tubuhkan ‘unit agama’

Selain itu, pengamal media perlu lebih berhati-hati dan tidak “mensensasikan” laporan dikhuatiri mengundang kemarahan dan sensitiviti umat Islam dan bukan Islam.

 

Pengamal media disaran menubuhkan ‘unit agama’ di setiap agensi itu bagi mengelakkan berlakunya kesilapan tafsiran dan kekeliruan berhubung laporan menyentuh agama Islam di negara ini.

Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata, selain itu, pengamal media perlu lebih berhati-hati dan tidak “mensensasikan” laporan dikhuatiri mengundang kemarahan dan sensitiviti umat Islam dan bukan Islam.

” Apa yang berlaku pada dua dan tiga minggu lalu, JAIS melakukan “siasatan” tetapi dilaporkan oleh media “serbuan”, kedua-dua perkataan tersebut memberi maksud yang berbeza ke atas tindakan JAIS.

“Siapa yang serbu… Serbu dalam keadaan menggeledah, dalam keadaan tendang pintu, serbu dalam keadaan tabur bahan-bahan.. (Tetapi maksud) siasat lain, katanya ketika berucap merasmikan Seminar Implementasi Dasar dan Strategi: Peranan Media Dalam Mendepani Ancaman Akidah di Shah Alam.

Semalam, Hassan yang juga ADUN Gombak Setia menegur media yang melaporkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja pada Ogos lalu sebagai satu “serbuan.”

Katanya, istilah berkenaan menyebabkan JAIS dilihat “kasar” dalam tindakannya ke atas Gereja Methodist Damansara Utama itu.

Ditanya dalam sidang media kemudiannya, Dr Hasan berkata beliau “tidak nampak” media melaporkan isu itu dengan salah tetapi masalah timbul disebabkan “kecenderungan” laporan berkenaan.

“Kecenderungan laporan itulah yang menyebabkan sedikit masalah.

“Dan saya rasa isu ini melibatkan (orang) Islam dan bukan Islam, melibatkan dua agama, menyebabkan sensitifnya perkara ini,” katanya.

Beliau yang enggan menamakan mana-mana individu juga mendakwa, terdapat pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

“Saya tidak mahu guna perkataan eksploitasi, tapi itulah perkataannya. Eksploitasi situasi itu yang menyebabkan apa yang berlaku tidak sepatutnya sebagaimana yang dikehendaki ianya berlaku,” katanya.

Dr Hasan turut menjelaskan saranannya supaya media bersimpati dengan JAIS dengan “memberikan berita dalam konteks yang dikehendaki oleh JAIS”.

“Saya tidak minta sokong JAIS, tidak, tidak, tidak.

“Saya mahu melihat media, fahami kehendak JAIS, fahami idealisme JAIS, (dan) fahami hati benak JAIS,” katanya ketika ditanya.