Seorang ibu terpaksa merayu bantuan orang ramai dengan pergi dari satu pejabat ke satu pejabat untuk mengutip derma bagi menyara kehidupannya dan keluarga selain merawat anak bongsunya yang mengalami masalah saluran jantung.
Rohariza Che Lah, 32, terpaksa berbuat demikian selepas anaknya disahkan mengalami masalah kesihatan itu sejak dua minggu lepas manakala suaminya Hisham Zainol, 36, pula tidak lagi mampu bekerja berat setelah patah kaki dan kini
bertongkat selepas terlibat dalam kemalangan tujuh bulan lepas.
Rohariza mengetahui penyakit anaknya, Mohamad Shahrul Danish Hisham, 2 bulan selepas membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menerima rawatan kerana mengalami masalah pernafasan.
“Selepas mendapat rawatan, baru saya tahu yang anak saya sakit dan doktor masih belum pastikan lagi sama ada penyakit anak saya serius atau tak. Tapi anak saya perlu sentiasa mendapatkan rawatan dan saya tak mampu nak tanggung kos
rawatan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Tongkang Yard di Alor Setar.
Dia yang mempunyai tiga orang anak berumur antara dua bulan dan tujuh tahun, berkata kehidupannya sekeluarga juga tidak menentu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Saya tidak bekerja manakala suami pula tidak mampu melakukan kerja-kerja berat kerana mengalami kemalangan jalan raya sejak tujuh bulan lalu. Sekarang ini kami hanya bergantung kepada belas ehsan jiran-jiran sahaja,” kata Rohariza yang tinggal di bilik sewa dengan kadar sewa RM80 sebulan.
Keadaan bilik sewanya, yang seperti stor simpanan barang itu, juga sangat daif dengan hanya keluasan kira-kira 1 meter x 6 meter dan di situlah tempat tidur, tempat masak dan makan, manakala bagi tandas mereka menggunakan tandas jiran.
Dia berkata sebelum melahirkan anak bongsu, dia bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM10 sehari manakala suaminya mengusahakan sawah yang disewa.
“Tetapi selepas bersalin dan mendapat tahu anak saya sakit, saya sudah tidak bekerja kerana tiada siapa yang jaga anak manakala suami pula akan keluar rumah membantu orang ramai apa yang patut bagi mendapatkan duit upah untuk menampung kehidupan kami. Saya keluar minta derma daripada orang ramai dan pergi dari pejabat ke pejabat untuk meminta sedikit wang bagi membantu rawatan anak saya,” katanya.
Dia juga telah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dua bulan lepas dan masih belum mendapat maklum balas berhubung permohonannya.
Sesiapa yang berhasrat membantu keluarga Rohariza boleh datang terus ke bilik sewanya di nombor 140, Jalan Bunga Raya, Tongkang Yard, Alor Setar.
– Bernama