Komuniti Kampung Bundu Tuhan terima anugerah khas alam sekitar

Komuniti Kampung Bundu Tuhan terima anugerah khas alam sekitar

Penduduk Kampung Bundu telah menjaga kebersihan persekitaran kampung dan mengutamakan penjagaan hutan komuniti yang telah ditagal sejak dari dahulu tanpa bantuan atau penglibatan daripada pihak luar.

JKKK Bundu Tuhan

Komuniti Kampung Bundu Tuhan, akhirnya menerima penghargaan hasil usaha mereka dalam memelihara alam sekitar. Majlis penerimaan anugerah ini berlangsung di Shangri-la Resort and Spa Tanjung Aru, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Penduduk Kampung Bundu telah menjaga kebersihan persekitaran kampung dan mengutamakan  penjagaan hutan komuniti yang telah ditagal sejak dari dahulu tanpa bantuan atau penglibatan daripada pihak luar.

Oleh itu anugerah seumpama ini sangat bermakna kepada mereka kerana ia membuktikan bahawa semua usaha oleh pemimpin-pemimpin komuniti sejak dahulu adalah tidak sia-sia dan komuniti layak untuk mendapat ganjaran yang sepatutnya.

“ Kampung Bundu Tuhan layak mendapat anugerah khas daripada menteri kerana kita dapat melihat bagaimana komuniti di kampung ini telah menjaga sendiri alam sekitar mereka di samping mewujudkan hutan komuniti yang ditagal atau dibombon. Pengurusan mereka juga adalah berpandukan kepada adat dan budaya yang dipersetujui bersama oleh komuniti, “ kata Datuk Masidi Manjun semasa berucap dan seterusnya menyerahkan anugerah khas menteri tersebut kepada wakil komuniti yang telah dijemput hadir.

See also  Coway and EcoKnights join forces for a greener future

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menegaskan bahawa pihak kerajaan memang boleh membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan pelancongan di negeri ini tetapi tiada gunanya sekiranya kebersihan alam sekitar tidak dijaga oleh masyarakat.

“Masyarakat harus bertindak dengan menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan sebarang komen mengenai kebersihan alam sekitar dan sepatutnya tidak menggunakan laman sosial seperti Facebook untuk mengambil perhatian pihak yang berwajib.

“Mereka seharusnya mengemukakan isu mengenai alam sekitar kepada pihak EAC (Environmental Action Centre Sabah) atau DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu),” tambah beliau.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa majlis Sabah Environmental Awards 2011 kerana berjaya melaksanakan majlis ini dengan penuh gemilang dan yang terpenting pada majlis kali yang ke-5 ini adalah lebih menekankan kepentingan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

See also  Volunteers unite for largest Earth Day cleanup in Penang

Selain daripada anugerah khas menteri kepada komuniiti yang terlibat, terdapat juga kategori anugerah alam sekitar lain untuk individu dan organisasi yang berjaya menjaga alam sekitar di kawasan masing-masing. Antara individu atau organisasi yang memenangi anugerah alam sekitar adalah Sekolah Menengah St. Micheal, Penampang, Jabatan Perhutan Sabah, Shangri-la Resort & Spa serta Shangri-la Rasa Ria Resort, Majlis Daerah Penampang dan Mdm. Marie Yong.

Pemenang-pemenang anugerah alam sekitar ini telah dipilih oleh panel juri dengan berpandukan kepada kriteria-kriteria yang sepatutnya.

Remy Alfie Awang