Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan dengan cuai
membiarkan tiga ekor anjing miliknya mencederakan seorang lelaki.
Cheah Soo @ Ah Peng, 66, didakwa dengan mengetahui dengan cuainya sebagai pemilik haiwan itu menyebabkan kecederaan parah kepada Ting Soon Teck, 33, di Kolam Pancing Ikan Perumahan Orkid Desa Fasa 2, Sungai Besi, Cheras, pada 3.20 petang 18 Sept lepas.
Cheah, yang merupkan penjaga kolam itu, dituduh mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian itu, Ting, seorang kontraktor, cedera di kedua-dua tangan dan kakinya kakinya turut cedera selepas digigit oleh anjing-anjing itu.
Anak perempuan tertuduh, Cheah Lai Yen, 35, hadir ke mahkamah sebagai penjamin, merayu kepada mahkamah agar mengurangkan jumlah jaminan daripda RM5,000 seperti yang ditawarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin.
Majistret Zulkipli Abdullah membenarkan Cheah, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Okt ini untuk sebutan semula.
– Bernama