Sudah hampir 22 tahun, Merlyn Abdullah menjejakkan kakinya di Sandakan dan kini beliau bersyukur kerana dibandingkan dengan kemelut hidup di negara kelahirannya dahulu, keadaan hidupnya di sini jauh lebih baik.
Merlyn yang berasal dari Davao, Filipina, tinggal di Kota Kinabalu di bawah jaminan suaminya melalui pas pasangan warganegara.
Buat masa kini, Merlyn bekerja sebagai tukang bersih di beberapa buah pejabat serta rumah di sekitar Penampang dan Luyang.
Pada mulanya dia bekerja sebagai pembantu kedai sebelum bertukar pekerjaan sebagai tukang bersih rumah serta pejabat sehingga hari ini.
“Paling lama saya sudah buat kerja ini ialah 14 tahun. Yang paling sedikit ialah sembilan tahun,” ujar Merlyn yang bekerja selama tujuh hari seminggu.
Melalui pendapatan bulanan ini, disamping pendapatan suaminya, Merlyn mampu membayar sewa rumah, makanan, bil eletrik, pengangkutan, belanja persekolahan anak dan lain-lain.
“Kadang-kadang ia cukup, tapi kadang-kadang tidak cukup,” kata Merlyn yang tinggal di sebuah rumah sewa kecil di Penampang bersama dengan suami dan anak perempuannya.
“Saya senang dengan kerja-kerja sambilan begini kalau banding dengan sepenuh masa,” tambah Merlyn sambil mengakui kadang – kadang terpaksa menanggung belanja perubatan sendiri jika menerima rawatan di klinik.
Merlyn yang berbangsa Visaya bertemu dengan suaminya yang berasal dari Zamboanga, Filipina pada awal tahun 1980.
Suaminya telah memohon taraf pemastautin tetap selepas 10 tahun di Sabah. Kini beliau adalah warganegara Malaysia.
Merlyn dan suaminya dianugerahkan seorang anak yang kini berusia 20 tahun dan sedang belajar di salah sebuah kolej swasta di Kota Kinabalu.
Menurut Merlyn sepanjang berada di Sabah, dia hanya sekali balik ke tempat asalnya sekali iaitu pada tahun 2002.
Sebelum mengakhiri perbualan, Citizen Journalist Malaysia (CJMY) bertanya samada dia mahu kembali dan menetap semula di tanah asalnya.
Sambil tersenyum dia menjawab bahawa sudah memohon untuk status penduduk tetap.
Daripada riak wajahnya, amat jelas menunjukkan betapa bangganya beliau kerana memohon taraf pemaustautin tetap melalui proses undang-undang yang sah sama seperti suaminya.