Portal sembang sosial baru bagi rakyat negara ini, Myfriends2u.com yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan mampu menjadi alternatif kepada orang ramai, khususnya belia tempatan untuk berkomunikasi dan menyebarkan maklumat terkini seperti dilakukan menerusi Facebook atau Twitter.
Menurut Datuk Ahmad Shabery Cheek,beliau yakin Myfriends2u yang dihasilkan syarikat tempatan, Nextpert Sdn Bhd itu akan mendapat sambutan kerana berwajah Malaysia, mesra pengguna dan memenuhi cita rasa generasi muda.
Katanya, pelancaran portal ini menepati trend belia di Malaysia yang menjadikan kegiatan melayari Facebook dan Twitter sebagai hobi masa lapang.
“Golongan muda terutama ahli Gerakan Belia 4B perlu menggunakan sepenuhnya portal laman sosial Myfriends2u untuk mendaftarkan keahlian baru, menyebarkan idea dan maklumat terkini mengenai kegiatan mereka kepada rakyat di negara ini.
“Myfriends2u bukan saja menjadi alternatif kepada pengguna Facebook dan Twitter, malah lebih sesuai untuk kita kerana memaparkan wajah sebenar Malaysia,” katanya ketika berucap melancarkan portal Myfriends2u sempena sambutan Hari Belia Negara 2010 Sabtu lalu.
Sementara itu, Exco GB4B Wilayah Persekutuan, Zuliatini Mohammad Joni ketika ditemui Komunitikini berkata pelbagai usaha telah dilakukan untuk menarik minat golongan belia di negara ini menyertai persatuan-persatuan belia.
Menurutnya ahli GB4B Malaysia telah membina sebuah laman sosial www.myfriend2u.com yang beroperasi mulai 1 Mei di mana laman ini berfungsi sama seperti laman sosial lain seperti facebook dan bezanya ia dibangunkan oleh anak tempatan.
“Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kefahaman golongan belia mengenai kepentingan Internet dalam menguruskan aktiviti seharian,”katanya.