UPP Kedah rampas petrol, diesel di Bukit Kayu Hitam

UPP Kedah rampas petrol, diesel di Bukit Kayu Hitam

Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 1,400 liter minyak diesel serta 6,400 minyak petrol bernilai RM13,000 dalam satu operasi di tiga lokasi berbeza semalam.

Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 1,400 liter minyak diesel serta 6,400 minyak petrol bernilai RM13,000 dalam satu operasi di tiga lokasi berbeza semalam.

Komander UPP Kedah Mohd Jasri Othman berkata dalam operasi sejak pukul 2.30 pagi semalam, dua warga tempatan berusia antara 30 dan 40-an ditahan, manakala dua pikap Thailand, sebuah Van dan sebuah kereta Proton Saga disita, masing-masing mempunyai tangki tambahan.

Bagi kes pertama UPP menahan sebuah van yang dipandu warga tempatan di kilometer 48 Lebuhraya Changlun-Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 2.30 petang Ahad ketika membawa muatan diesel dipercayai cuba diseludup sebanyak 1,400
liter.

“Lelaki itu dipercayai membawa diesel tersebut untuk dihantar ke satu tempat menyimpan minyak yang tidak diketahui tempatnya sebelum dijual kepada penyeludup dari negara jiran.

“Tangkapan kedua dilakukan hasil intipan pasukan risikan UPP di Tapak Bazar Ramadan Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 12.20 tengah malam semalam (Ahad) dan menyita dua pikap warga Thailand masing-masing dengan muatan 3,000 liter petrol,” katanya kepada pemberita di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini Ahad.

Mohd Jasri berkata bagi kes itu tiada tangkapan dibuat.

Katanya tangkapan ketiga dilakukan kira-kira pukul 11.40 pagi semalam di Kilometer 4 Lebuhraya Changlun-Bukit Kayu Hitam ketika suspek melakukan urusan menghantar petrol itu kepada pembeli yang berada di pintu sempadan.

Hasil pemeriksaan mendapati dalam kereta jenis proton Saga itu terdapat tangki tambahan pada bahagian tempat menyimpan barang dan tempat duduk belakang yang telah diubahsuai bagi membawa 400 liter pertol, katanya.

Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM100,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Mohd Jasri sejak Januari hingga Julai tahun ini pihaknya mematahkan lebih 20 cubaan menyeludup petrol dan diesel ke negara jiran melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.

– Bernama