Berikutan video kontroversi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, yang menghina penganut dan agama Hindu, wakil PKR Johor dan Pemuda MIC Johor telah tampil membuat laporan polis memprotes penghinaan tersebut.
Naib Pengerusi PKR Johor Selva Kumar Kannan dan wakil Pemuda MIC Johor Aruldass Susaimanikam membuat laporan bersama di Balai Polis Ulu Tiram.
Menurut Selva, kedua dua pemimpin itu mengenepikan fahaman politik masing masing untuk kepentingan masyarakat India di negara ini.
“Walaupun berbeza pendapat dalam arena politik, di saat saat perti ini, kami berdiri teguh untuk masyarakat India,” kata Selva.
“Ini bukannya kali pertama masyarakat India dan agama Hindu dihina.
Kami ingin kerajaan memandang serius perkara ini.
Sekiranya tiada tindakan daripada pihak berkuasa, kami akan teruskan dengan protes besarbesaran secara terbuka.
Kami juga khuatir sekiranya ada pihak yang membalas tindakan Zulkifli ini dengan menghina agama Islam.
Ini akan mengugat kestabilan perhubungan di antara kaum di negara ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, wakil Pemuda MIC Johor yang turut serta dalam protes ini berkata penyataan Zulkifli amat berbahaya kerana ini akan mewujudkan ketegangan di antara kaum.
“Walaupun saya beragama Kristian, saya tampil ke hadapan membela nasib penganut Hindu kerana saya faham akan hak kebebasan beragama di negara ini.
Saya menyeru setiap pengerusi dan penyelaras kuil Hindu di negeri Johor untuk tampil membuat laporan polis terhadap Zulkifli,” kata Aruldass Susaimanikam.