Bidang seni Malaysia diabai?

OPINION – Kerajaan sepatutnya meliberalkan seni budaya, menyediakan infrastruktur seni yang membolehkan mereka memperagakan seni mereka.

Situasi budaya sekarang di ambang paling merosot sejak Malaysia ditubuhkan.
Dulu, pada zaman 50an sehingga 80an, Malaysia begitu kaya dengan penglibatan dalam bidang seni; daripada industri filem dengan P. Ramlee, muzik dengan genre Pop Yeh Yeh sehinggalah bidang penulisan, sastera dan teater.
Malah seni tradisional dengan wayang kulit, makyung, dondang sayang atau dikir barat, juga tidak kurang hebatnya. 
Keadaan ini telah berubah.
Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang pelukis di sebuah pusat hiburan di Damansara Heights. Saya baru saja mengenali beliau.
Banyak perkara yang kami bincangkan dan topik terakhir perbualan kami adalah bidang senilukis di Malaysia.
Pada pendapat beliau kerajaan tidak banyak membantu budayawan, dari semua bidang, seperti pelukis, ahli muzik, penyanyi, pelakon dan sebagainya.
Misalnya, terdapat ramai artis di luar sana yang kebajikannya tidak dijaga. Cuma beberapa artis saja yang menjadi kaya-raya. Yang lainnya dipinggirkan begitu saja walhal mereka telah banyak memberi sumbangan kepada budaya negara.
Tapi sekarang? Mungkin ini disebabkan oleh TV dan Internet. Mungkin juga kerana ada pihak yang mengatakan seni ini haram kerana ia melalaikan.
Budayawan tidak diberikan rekognisi yang sepatutnya.
Kekayaan budaya menunjukkan masyarakat yang menyintai apa saja yang seni. Seni meningkatkan imaginasi dan Einstein pernah berkata, ‘Imaginasi adalah lebih penting dari pengetahuan.’
Parti yang memerintah dan yang bakal memerintah, seharusnya mengutamakan seni juga kerana ianya menjadikan negara lebih harmoni.
Seni pelbagai tidak diberi emfasis oleh media kerajaan, kecuali penyanyi cantik molek.
Wings dan Search terpaksa memotong rambut mereka dan terus Rock Kapak menuju kehancuran dan akhirnya terus mati genre heavy metal Malaysia yang telah menerangi budaya muzik Nusantara.
Pada era rock kapak dulu, band-band di Malaysia menjadi idola buat peminat muzik di Indonesia. Sekarang…Kita pula di belakang Indonesia. 
Kerajaan sepatutnya meliberalkan seni budaya, menyediakan infrastruktur seni yang membolehkan mereka memperagakan seni mereka.
Kerajaan juga harus menjaga kebajikan artis yang susah. Memberikan pinjaman kepada artis-artis untuk membeli alatan seni mereka misalnya. Menyediakan lebih banyak galeri lukisan, pentas konsert, memberikan ruang untuk artis muncul di kaca tv dan radio.
Kerajaan sekarang ada mendedahkan artis dalam media mereka tetapi hanya untuk penyanyi kebanyakannya. Artis genre lain kurang diberikan perhatian.
Stigma bahawa artis itu ‘membazir dan untuk berseronok sahaja’ harus disingkirkan.
Dalam setiap tamadun yang tinggi, budaya dipentingkan kerana hiburan membuatkan kita berfikir dan menyenangkan minda yang stres. Kita perlu lebih banyak P. Ramlee, Munshi Abdullah dan Hamzah Dolmat.
See also  Balan Kash bridges cultures with Malay-language album CEKAP
Avatar photo

Akmal Ariffin

Akmal is a former English teacher at a secondary school. Since his retirement, he has been enjoying writing. He also teaches English and plays his guitar whenever time permits.