Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menegaskan kepada umum bahawa tiada ‘serbuan’ yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasanya dan Polis Diraja Malaysia di Dream Centre milik Damansara Utama Methodist Church (DUMC) pada 1 0gos lalu.
Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata sebaliknya ia hanyalah ‘pemeriksaan’ untuk memastikan kehadiran orang islam.
“Pada hari tersebut, pemeriksaan dilakukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (negeri Selangor) 1995 adalah berdasarkan maklumat bahawa majlis ibadat berbuka puasa akan diadakan bersama majlis ‘Thanksgiving Dinner’ di sebuah gereja,” katanya menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Unit Perhubungan Awam Bahagian Pengurusan JAIS lewat petang tadi.
Bertindak atas maklumat tersebut, Marzuki berkata satu pemeriksaan telah dibuat bersama-sama anggota polis lebih kurang jam 9.45 malam.
Menurutnya JAIS ingin menegaskan bahawa rundingan yang diadakan dengan penganjur di luar dewan majlis berkenaan membuktikan tuduhan kononnya JAIS membuat serbuan, kekasaran serta pecah masuk adalah tohmahan liar semata-mata.
“Bahkan JAIS telah meminta keizinan untuk masuk dan hanya dibenarkan memasuki dalam dewan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan setelah majlis selesai kira-kira jam 11 malam,” katanya.
Mengulas lanjut, Marzuki berkata tiada sebarang kekerasan dilakukan oleh anggota penguatkuasa JAIS pada malam tersebut.
Menurutnya pihaknya merasakan amat kecewa apabila banyak pihak mengatakan pemeriksaan tersebut dilakukan secara tidak beretika oleh anggota penguatkuasa JAIS.
“Selepas majlis tersebut dihadiri kira-kira 100 orang tamat, barulah pemeriksaan dijalankan di dalam dewan majlis.
“Dalam masa lebih kurang 10 minit sahaja anggota penguatkuasa JAIS dan polis telah diarah keluar dari dewan tersbeut oleh penganjur,” jelasnya.
Marzuki berkata walaupun tindak tersebut seolah mempertikaikan kuasa JAIS dan polis dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas orang Islam.
Menurutnya pihaknya dan PDRM tidak menggunakan kuasa menahan penganjur atau membuat tangkapan.
“JAIS mengesahkan tiada sebarang tangkapan yang dibuat walaupun seramai 12 orang Islam didapati hadir.
“Mereka hanya diambil butiran dan diminta menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling di JAIS,” katanya.