MB Selangor kecewa media kurang beri publisiti

MB Selangor kecewa media kurang beri publisiti

Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim hari ini meluahkan rasa kecewa kerana slogan baru kerajaan negeri ‘Selangor Ku’ kurang diberi publisiti oleh media.

Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim hari ini meluahkan rasa kecewa kerana slogan baru kerajaan negeri ‘Selangor Ku’ kurang diberi publisiti oleh media.

Sambil menafikan slogan itu sekadar retorik kerajaan negeri, beliau berkata menerusi slogan tersebut kerajaan Selangor mengajak rakyatnya terlibat dalam pembangunan negeri.

“Melalui slogan ini kami mengajak rakyat Selangor bersama-sama bertanggungjawab dan mempertahankan usaha kerajaan negeri untuk bantu golongan belia mencari pekerjaan dan meningkatkan kemahiran serta memastikan rakyat ada
tempat kediaman masing-masing,” katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Noh Omar yang berkata pelancaran slogan baru itu sekadar menutup kegagalan kerajaan pimpinan pembangkang melaksanakan pembangunan untuk rakyat.

Sementara itu mengulas perkara berbeza, Abdul Khalid berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Pertanian Selangor agar meningkatkan pengeluaran padi terutamanya di Tanjung Karang dan Sungai Besar, Sabak Bernam.

Katanya kerajaan negeri mahu meningkatkan purata pengeluaran padi di setiap kawasan kepada tujuh tan metrik semusim berbanding antara 5 dan 5.5 tan metrik sekarang.

Buat masa ini katanya, Sekinchan mencatatkan pengeluaran hasil padi tertinggi di Selangor iaitu 12 tan metrik.

– Bernama