Berbaloikah dikenakan sekatan jalan raya di setiap penjuru masuk menuju ke ibu kota Kuala Lumpur pada Jumaat lalu? Apakah dengan mengadakan sedemikian tiada siapa akan datang pada Perhimpunan Bersih 2.0 (9 Julai 2011)? Pemeriksaan secara rambang yang tidak berkesan itu membuatkan keadaan seluruh Lembah Klang seolah-olah di dalam keadaan darurat. Apa yang dapat digambarkan di sini boleh diumpamakan “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.
Hampir 32 jalan utama menuju ke pusat bandar telah ditutup dan menjurus kepada peniaga kedai-kedai berhampiran terpaksa menghentikan perniagaan mereka pada hari tersebut. Siapakah yang harus dipersalahkan disini? Pihak penganjur perhimpunan itu atau pun pihak polis sendiri yang ego, tidak mengerti bertolak ansur atau hanya mengikut telunjuk orang atasan (yang berkenaan)?
Tak perlu rasanya untuk berceloteh panjang tentang mengapa dan mengapa dan mengapa mereka (yang berkenaan) bertindak sedemikian, mungkin ada sebab yang tersendiri di mana hanya mereka (yang berkenaan) yang tahu. Berbalik kepada tentang sekatan yang dijalankan di beberapa buah jalan di ibu kota, mengikut pandangan peribadi saya ianya hanyalah salah satu cara mereka (yang berkenaan) untuk memomokkan BERSIH ini, sebuah pertubuhan haram yang akan menjalankan perhimpunan dimana ia membawa kepada huru-hara dan kacau-bilau.
Tahniah pada mereka (yang berkenaan) ini saya ucapkan, masih ada segelintir rakyat di negara ini termakan dengan propaganda yang dijalankan, bukan setakat sekatan jalan raya ini malahan gong-gong yang dipalu di media massa utama turut memberi impak kepada golongan ini. Bukan tak nampak bukan tak dengar, tapi telah dibutakan serta dipekakkan dengan sesuatu mungkin imbuhan atau pun mentaliti yang diwarisi dari turun-temurun nenek moyang. Tepuk dada, tanyalah selera.
Bermula dengan kedatangan peserta-peserta perhimpunan pada pagi itu, ada yang menaiki kenderaan persendirian dan meletakkan di kawasan berhampiran dan ada juga yang menaiki pengangkutan awam dan berhenti di hentian berhampiran, hanya beberapa orang sahaja yang ditahan. Itu pun di awal pagi kerana berpakaian dan bergerak secara mencurigakan. Sungguhpun begitu, ianya tidak mematahkan semangat peserta-peserta lain untuk turut serta perhimpunan berkenaan.
Dengan semangat jitu dan kental, akhirnya berjaya melepasi halangan demi halangan sebelum tiba di destinasi yang dituju. Mengikut perancangan awal, peserta akan berkumpul di Masjid Jamek dan Masjid Negara seterusnya akan mula berarak ke Stadium Merdeka bersama pemimpin bermula pukul 2.00 petang. Lebih kurang pukul 11.00 lebih, banyak peserta perhimpunan telah tiba dan berkumpul di Pasar Seni mula menuju ke Masjid Negara dan berharap dapat melepasi sekatan pihak polis di Dataran Merdeka. Semakin lama semakin banyak yang merapati kawasan itu sambil bertakbir, pihak polis masih tidak berganjak dan di situlah bom asap pertama dilepaskan untuk menyuraikan peserta yang hadir di kawasan berkenaan.
Tidak gentar tidak beralah, peserta yang ada bersama-sama berarak cuba menuju ke Stadium Merdeka melalui Jalan Sultan. Laluan disekat, lalu kumpulan-kumpulan kecil dari arah Jalan Pudu bergabung dan bersama-sama berhimpun di antara bangunan Maybank, Puduraya dan Kota Raya. Jalan raya telah dipenuhi dengan peserta perhimpunan dan Dr. Hatta Ramli tiba lalu memberikan sepatah dua kata dan disusuli dengan takbir, laungan dan sorakkan.
Di sini, sekali lagi pihak polis melepaskan bom asap untuk menyuraikan peserta-peserta yang berhimpun disitu. Bukan sahaja bom asap dilepaskan, malah air dipancutkan dari “water cannon” ke arah peserta. Beberapa tangkapan dimulakan dan tangkapan hanya dibuat ke atas mereka yang bertindak agresif (menjerit dan memaki hamun). Apa yang terjadi disini, pihak polis mula menggunakan kekerasan dan mula mencabar peserta yang ada. Inikah yang dikatakan menangani secara profesional? Cubaan membuat kelakar seram nampaknya. Apa yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Ismail Omar, saya sangkal habis-habisan termasuklah serangan yang terjadi ke atas pemimpin pembangkang dan Hospital Tung Shin.
Di antara yang dikatanya apabila ditanya tentang serangan ke atas pemimpin pembangkang berberbunyi “Dia tak ada di Pudu. Di situ saja ada gas pemedih mata. Itu tidak benar.” Untuk serangan di Hospital Tung Shin (video oleh Salhan Ahmad /Malaysiakini) pula berbunyi, “Itu tidak benar. Itu di luar SOP (prosedur standard) kita. Jangan dengar berita angin ini. Tidak tepat”.
Semuanya ditepis untuk menafikan apa yang telah pihak polis lakukan, inilah yang dikatakan lontar batu, sembunyi tangan. “Kalau ada (polis guna kekerasan) you buat repotlah”, katanya, seolah-olah mencabar rakyat untuk bertindak. Tidak mustahil rakyat akan turun ke jalan sekali lagi untuk menuntut pembelaan di atas kekejaman, kebodohan dan pembohongan oleh Ketua Polis Negara sendiri.
Ribuan menjadi saksi, ribuan masih belum dibutakan dan dipekakkan, inikah integriti seorang Ketua Polis Negara yang perlu dicontohi? Cukuplah memperbodohkan rakyat Malaysia ini, sampai bila nak berbohong? Sampai bila nak memperkotak-katikkan rakyat? Dengan apa yang terjadi, melalui bukti dan saksi yang ada, amatlah dialu-alukan jika Ismail Omar ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara.
Saya sayangkan negara ini, saya cintakan Malaysia ini, saya setia pada tahanair ini tetapi tidak pada mereka (yang berkenaan) serta Ketua Polis Negara, Ismail Omar yang boleh diibaratkan anak lelaki berkemban batik, tidak berani menyatakan yang benar dan tidak berani mengaku kesilapan.
*Penulis merupakan seorang Anak Muda Malaysia inginkan keadilan…