Mencari adventure dengan Hitch-hike

Mencari adventure dengan Hitch-hike

Secara tradisinya, hitch-hike didefinisikan sebagai meminta untuk ditumpangkan, dengan berdiri di bahu jalan dan membuat isyarat tangan seperti isyarat tanda ‘bagus’.

picture from guardian.co.uk

Hitch-hike merupakan salah satu kaedah termurah untuk mengembara. Secara tradisinya, hitch-hike didefinisikan sebagai meminta untuk ditumpangkan, dengan berdiri di bahu jalan dan membuat isyarat tangan seperti isyarat tanda ‘bagus’.

Soal menjimatkan kos bukanlah sebab utama untuk hitch-hike bagi pengembara-pengembara sejati. Ia lebih kepada keseronokan dan kepuasan dalam mencari advencer di sepanjang perjalanan.

Malah dengan hitch-hike, kita boleh bertemu dengan rakan-rakan baru dan menambah rangkaian teman. Hitch-hike juga boleh menemukan kita dengan pelbagai budaya dan ragam penduduk lokal di tempat yang kita tuju.

Budaya hitch-hike telah wujud sejak dari dulu lagi. Namun kini pengembara yang menggunakan kaedah hitch-hike semakin sukar dilihat. Tambah-tambah lagi di negara kita. Mungkin masyarakat kita masih belum berani untuk meneroka budaya ini.

Perasaan khuatir dan bimbang ini bukan sahaja datang dari pengembara-pengembara atau backpacker-backpacker tempatan, malah dari pemandu-pemandu yang diharapkan boleh memberi tumpang juga.

picture from acrobadoftheroad.blogspot.com

Selain menggunakan isyarat tangan tipikal bagi hitch-hiker, kita juga boleh menggunakan kad atau kertas yang bersaiz besar dengan menuliskan nama tempat yang ingin kita pergi. Kalau mahu ke Kaikoura (New Zealand) misalnya, tulis sahaja KAIKOURA pada satu kertas besar dengan tulisan yang boleh dibaca dari jarak lebih kurang 20 meter. Cara ini lebih mudah dan berkesan kerana pemandu tidak perlu lagi bertanya.

See also  Traveloka showcases B2B platform at ITB Asia

Berlainan pemandu mempunyai berlainan sebab untuk menumpangkan hitch-hiker. Pemandu trak atau lori misalnya mahukan seseorang untuk berbual kerana kerja mereka memang menjemukan jika memandu berseorangan. Begitu juga dengan pemandu kereta bersendirian. Kita juga mesti berpakaian kemas dan bersih supaya tidak kelihatan mengancam atau membahayakan. Senyuman juga boleh menjadi faktor untuk pemandu berhenti memberi tumpangan.

Pemandu masa kini lebih takut untuk mengambil hitch-hiker berbanding masa lalu. Mungkin rekod tidak baik dari hitch-hiker sebelum-sebelum ini membuatkan mereka berlalu sahaja meninggalkan hitch-hiker yang wujud sekarang terkapai-kapai meminta untuk ditumpangkan.

Selain itu, sebagai hitch-hiker, kita juga mesti memilih pemandu. Kalau kita lihat pemandu tersebut seperti mencurigakan, lebih baik jangan naik. Pilihlah kenderaan yang hanya ada pemandu sahaja. Pemandu dengan seorang penumpang masih boleh dipertimbangkan. Namun jika lebih, lebih baik menolak dengan cara baik.

See also  Shangri-La Rasa Sayang Penang named Asia’s No. 2 resort

Elakkan juga untuk hitch-hike di waktu malam. Waktu tersebut lebih berpotensi untuk kita dirompak dan ditinggalkan di tepi jalan sehelai sepinggang. Hitch-hike hanya sesuai di jalan-jalan kecil yang tidak mempunyai banyak kenderaan, bukan di lebuhraya kerana pemandu sukar untuk berhenti di tepi jalan.

Bukan semua negara yang memahami budaya hitch-hike ini. Hitch-hike adalah memberi tumpangan secara percuma. Namun bagi sesetengah negara yang tidak familiar dengan budaya ini, pemandu-pemandunya mungkin akan meminta bayaran.

Jadi apabila merencana untuk mengembara secara hitch-hike, eloklah jika kita mengkaji dahulu amalan budaya tersebut di negara yang ingin kita tuju. Carta populariti budaya hitch-hike boleh didapati di laman web ini: http://wikitravel.org/en/Tips_for_hitchhiking#Countries

Jom kita persiapkan backpack dan kita hitch-hike!