Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia atau lebih dikenali sebagai Huazong meminta semua pihak yang bercadang untuk
mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini membatalkan hasrat mereka.
President Huazong, Pheng Yin Huah berkata pihak yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram seharusnya membatalkan perhimpunan mereka pada hari itu bagi menggelakkan pihak yang tidak diingini mengambil kesempatan bagi mengganggu ketenteraman masyarakat.
“Walaupun perlembangan memberikan hak kepada rakyat untuk mengadakan perhimpunan, kita tidak mahu perhimpunan haram seperti ini menjadi satu medan konfrontasi sehingga mungkin mencetuskan perkara-perkara yang tidak diingini,” beliau berkata.
“Pihak yang membuat perhimpunan haram ini perlu membuat pertimbangan untuk menggunakan cara aman yang lain untuk mengemukakan permintaan atau pendapat mereka. Ini seperti mengadakan perjumpaan dalam stadium berbanding perhimpunan haram atau demonstrasi di jalan raya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, Huazong, yang juga merupakan badan induk kepada lebih 3,000 pertubuhan dan persatuan Cina di seluruh Malaysia bimbang sekiranya perhimpunan haram yang dicadangkan oleh tiga pihak ini diteruskan pada 9 Julai ini, ia akan menjejaskan urusan perniagaan harian serta mungkin menimbulkan suasana kacau bilau.
Pheng berkata sekiranya suasana kacau bilau berlaku, ia bakal menjejaskan keyakinan pelabur asing dan sektor pelancongan negara.
“Mereka ini boleh membentangkan apa juga memorandum tanpa perlu mengadakan perhimpunan haram. Ia akan membawa kesan yang sama,” tambahnya.
– Bernama