Buat aduan rasmi, jangan sekadar “bercakap dalam kedai kopi”

Buat aduan rasmi, jangan sekadar “bercakap dalam kedai kopi”

Sebarang siasatan berhubung daftar pemilih yang dipertikaikan hanya boleh dilakukan selepas aduan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak boleh bertindak sekiranya laporan, kenyataan atau aduan mengenai perkara itu hanya dibangkit dan dipersoalkan di tempat terbuka tanpa mengikut prosedur.

Sebarang siasatan berhubung daftar pemilih yang dipertikaikan hanya boleh dilakukan selepas aduan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak boleh bertindak sekiranya laporan, kenyataan atau aduan mengenai perkara itu hanya dibangkit dan dipersoalkan di tempat terbuka tanpa mengikut prosedur.

“Saya jawab hari ini dalam Parlimen (bahawa) kita tak terima lagi aduan rasmi, mungkin Yang Berhormat bercakap dalam kedai kopi atau di mana-mana.

“Bila yang ini khusus dibawa ke dalam Parlimen, saya akan ingatkan kepada SPR yang ini ada komplen dalam dewan oleh Yang Berhormat Gombak, jadi saya akan pastikan siasatan dibuat,” katanya menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Azmin ingin tahu tindakan JPM dalam memastikan SPR bertindak secara bebas untuk memastikan daftar pemilih terkini adalah bersih kerana dakwanya berlaku pemindahan pengundi oleh SPR seperti di Kampung Klang Gate Baru dalam kawasan Parlimen Gombak.

Mohamed Nazri berkata pendaftaran pengundi yang dilakukan oleh SPR berdasarkan alamat yang terdapat dalam kad pengenalan seseorang yang dikeluarkan secara sah oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR hanya melakukannya mengikut alamat tersebut.

“Bagaimanapun kita cuba sebaik yang boleh, kita akan cuba sebaik-baiknya dan saya boleh nyatakan sehingga hari ini SPR tidak menerima laporan rasmi seperti yang disebut,” katanya.

Beliau berkata SPR berhak membatalkan pendaftaran seseorang ejen parti yang dilantik sebagai penolong pendaftar sekiranya didapati terdapat usaha daripada ejen tersebut untuk mendaftarkan pendatang asing sebagai pengundi.

Katanya walaupun Akta Pilihan Raya membenarkan pelantikan ejen bagi mewakili parti politik, pihak berkenaan sentiasa tertakluk kepada peraturan dan undang-undang dan sekiranya dilaporkan adanya percubaan seumpama itu, mereka juga boleh dikenakan tindakan yang dibenarkan di bawah undang-undang pilihan raya.

“Ada perbezaan di sini antara didaftar dengan cuba didaftar, ia perbezaan yang cukup jauh. Kalau cuba mendaftar bermakna perkara itu tidak berlaku,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai).

Nur Jazlan inginkan kepastian sama ada benar terdapat warga Bangladesh yang cuba didaftar sebagai pengundi oleh ejen parti dan sekiranya ada, bentuk tindakan yang diambil kerajaan untuk menghukum pihak berkenaan.

Menjawab soalan asal Nur Jazlan yang mahu kerajaan menyatakan jumlah pendatang asing yang telah didaftar sebagai pengundi menggunakan kad pengenalan tidak sah seperti dilaporkan media, Mohamed Nazri berkata keadaan itu tidak
berlaku.

Katanya tiada pendatang asing yang didaftarkan sebagai pemilih keranapengesan utama yang digunakan dalam menentukan kelayakan permohonan sebagai  pemilih ialah kad pengenalan.

“Perlu dijelaskan bahawa ketika proses pendaftaran pemilih melalui Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang diguna pakai oleh SPR, pengenalan pemohon akan dihubung kait dengan ‘Agency Link-Up System’ (ALIS) JPN dan jika ada sebarang cubaan untuk mendaftar permohonan yang tidak sah, sistem  yang sedia ada akan menolak transaksi atau kemasukan data itu secara automatik,” katanya.

Beliau berkata tapisan dan semakan yang dilaksanakan oleh sistem ALIS bukan saja menolak mereka yang bukan warganegara malah turut menolak permohonan daripada mereka yang belum mencapai umur kelayakan dan yang mengemukakan kad pengenalan palsu.

Melalui sistem yang dibangunkan syarikat ICT tempatan HeiTech Padu Bhd (HeiTech) itu, SPR dapat membuat pemeriksaan kesahihan kelayakan pemilih daripada segi kewarganegaraan, sama ada telah meninggal dunia dan tinggal di alamat yang sama serta berumur 21 tahun ke atas, untuk membenarkan mereka mengundi pada pilihan raya.

ALIS, menghubungkan secara dalam talian, ibu pejabat dan pejabat negeri SPR dengan Jabatan Pendaftaran Negara serta agensi kerajaan yang lain mula digunakan pada Ogos 2003.

– Bernama