Seorang juruwang Bank Islam Malaysia Berhad dihukum penjara 10 tahun dan dikenakan 12 kali sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan pecah amanah melibatkan deposit cek tidak wujud bernilai RM1,925,500.
Roslizam Zabar, 40, dari Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan, melakukan kesalahan itu di cawangan bank berkenaan di Kompleks Perniagaan Masjid Tanah, Alor Gajah.
Bagi pertuduhan pilihan pertama, Roslizam yang diamanahkan kepadanya semua urusan kaunter bank itu, dengan curang dan tanpa pengetahuan serta kebenaran bank, membuat deposit cek-cek yang tidak wujud berjumlah RM95,000 dan dimasukkan ke dalam akaun Roslen Enterprise, sebuah syarikat yang tubuhkannya, antara 5 Dis dan 26 Dis 2008.
Bagi pertuduhan pilihan kedua, dia membuat deposit cek-cek yang tidak wujud berjumlah RM1,578,000 dan dimasukkan ke dalam akaun Roslen Enterprise antara 9 Jan dan 25 Ogos 2009 manakala bagi pertuduhan pilihan ketiga, dia membuat deposit cek-cek yang tidak wujud berjumlah RM252,500 dan dimasukkan ke dalam
akaun Roslen Enterprise antara 2 Ogos dan 17 Ogos 2010.
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan rotan bagi setiap tiga pertuduhan itu dan mengarahkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini.
Pada 4 Mac lepas, Roslizam mengaku tidak bersalah di mahkamah sama terhadap 56 pertuduhan pecah amanah membabitkan deposit cek tidak wujud bernilai RM1,925,500 ke dalam akaun Roslen Enterprise.
Bagaimanapun hari ini, dia menukar pengakuan kepada bersalah selepas tiga pertuduhan pilihan itu dibacakan kepadanya.
Peguam Shah Rizal Alias dan Shahrul Amali Shafie, yang mewakili tertuduh ketika merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman yang ringan, berkata Roslizam sudah insaf dan mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak yang masih kecil yang perlu disara.
Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal yang boleh menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Mengikut fakta kes, pada 2004, tertuduh telah menubuhkan syarikat Roslen Enterprise dan mendaftarkannya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan menggunakan nama kakaknya, Roslen Zabar.
Dia kemudiannya membuka satu akaun semasa di BIMB Masjid Tanah atas nama Roslen Enterprise, dan antara 2008 dan 2010, telah menggunakan borang deposit cek BIMB untuk memasukkan amaun wang dengan menggunakan nombor siri borang deposit cek, mendepositkannya dan mencetaknya lalu menjadikan seolah-olah cek itu dimasukkan di bawah cek tempatan di mana cek berkenaan kemudiannya mengambil masa selama tiga hari untuk dijelaskan.
Perbuatan Roslizam itu dikesan oleh pihak ibu pejabat BIMB di Kuala Lumpur yang kemudiannya membuat laporan polis.
Kakak tertuduh pula membuat laporan polis menafikan pengetahuan dan penglibatannya dalam syarikat yang ditubuhkan oleh Roslizam itu.
– Bernama