Jabatan Perikanan Terengganu mendapat 408 permohonan lesen sampan

Jabatan Perikanan Terengganu mendapat 408 permohonan lesen sampan

Jabatan Perikanan negeri Terengganu kini sedang menyemak dan memproses 408 permohonan daripada nelayan pantai untuk mendapatkan lesen sampan secara automatik selepas diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Jabatan Perikanan negeri Terengganu kini sedang menyemak dan memproses 408 permohonan daripada nelayan pantai untuk mendapatkan lesen sampan secara automatik selepas diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Pengarahnya Zakaria Ismail berkata jabatan sekarang sedang menyemak senarai yang dikemukakan oleh Persatuan Nelayan Negeri Terengganu untuk kelulusan lesen berkenaan.

“Sebelum kita keluarkan lesen kepada nelayan pantai, kita perlu menyemak terlebih dahulu adakah mereka betul-betul nelayan atau awak-awak kepada nelayan lain, telah mendapat elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan dan mereka
mempunyai kad nelayan.

“Kalau mereka cukup syarat seperti yang ditetapkan itu, kita akan keluarkan lesen untuk mereka,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 2 Jun lepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar ketika melawat Terengganu, mengumumkan semua nelayan pantai akan memperolehi lesen secara automatik kerana kerajaan berhasrat untuk menolong awak-awak menjadi nelayan sendiri.

Zakaria berkata sebelum ini jabatan telah mengeluarkan 1,396 lesen sampan kepada nelayan pantai di Terengganu.

Katanya, mulai tahun ini juga nelayan berkenaan dibenarkan memperbaharui lesen untuk tiga tahun sekali bagi memudahkan mereka.

– Bernama