PPDNKK nafi Terengganu menghadapi masalah minyak masak

PPDNKK nafi Terengganu menghadapi masalah minyak masak

Bahagian Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) hari ini menafikan Terengganu mengalami kekurangan bekalan minyak masak.

Bahagian Penguatkuasa Pejabat  Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) hari ini menafikan   Terengganu mengalami kekurangan bekalan minyak masak.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri Ab Ghani Harun berkata hal ini dapat dilihat  apabila minyak masak terdapat di semua kedai terutamanya pusat membeli-belah di  negeri ini.

“Dakwaan mengatakan minyak masak tidak ada di Terengganu adalah tidak  benar,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan di pusat membeli-belah di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang mengatakan minyak masak  tidak dijual di sebuah pasar raya di sini.

Abd Ghani berkata laporan akhbar berkenaan boleh menimbulkan masalah kepada  pengguna di negeri ini kerana ia akan menyebabkan pengguna panik.

Menurut beliau Terengganu mendapat bekalan minyak sebanyak 1,700 tan metrik setiap bulan dan bekalan itu mencukupi keperluan pengguna di negeri ini.

Beliau berkata di Terengganu terdapat 11 pembungkus minyak masak iaitu enam  di sini, Marang (satu) dan dua masing-masing di Besut dan Kemaman.

“Tidak ada ketirisan minyak masak di sini kerana kita jauh dari sempadan,” katanya.

Sehubungan itu, Ab Ghani berharap akhbar membuat laporan yang betul kerana  isu minyak merupakan isu yang sensitif. Jika pengguna membuat pembelian panik, ia akan menyebabkan masalah kekurangan minyak masak, katanya.

– Bernama