Sebuah rumah teres dua tingkat hampir musnah manakala bahagian siling empat buah rumah lain yang terletak di kedua belahnya turut dijilat api dalam satu kebakaran di Taman Suhima, Kg. Muhibbaraya.
Taman perumahan ini merupakan taman perumahan baru di kawasan berkenaan dan masih banyak unit yang masih belum diduduki.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Zougarana Konin berkata pihaknya menerima panggilan dari orang awam mengenai kebakaran itu pada pukul 11.40 pagi.
Katanya sebaik menerima maklumat, beliau bersama dua jentera dan 10 anggota lain bergegas ke tempat kejadian. Kebakaran berjaya dikawal dari merebak pintu lain dalam masa 39 minit.
“Selain tingkat atas rumah teres dua tingkat itu musnah, siling empat buah rumah di sebelah kiri dan kanan rumah tersebut turut musnah.
“Salah satu rumah yang musnah silingnya baru sebulan didiami,” katanya kepada media di tempat kejadian.
Tambahnya lagi pihak bomba dan polis sedang menyiasat punca dan anggaran kerugian dalam kejadian tersebut.
Kebakaran tersebut merupakan yang ke-empat dilaporkan di daerah ini pada minggu ini.
–