Seorang penduduk yang mewakili penduduk Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu, melahirkan rasa kecewa terhadap sikap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang hanya mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan keadaan parit di sekitar perumahan tersebut dipenuhi oleh semak-samun.
DBKK langsung tidak mengambil berat tentang masalah ini walaupun kami telah membuat lebih daripada 10 aduan sejak dua tahun lepas,kata Azam Jerin.
DBKK giat menjalankan kempen “Anti Kutu Sampah” sedangkan pada masa yang sama membiarkan parit dan longkang menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes, tambah Azam lagi sambil mempersoalkan visi dan misi DBKK bagi mewujudkan bandaraya yang bersih, indah dan selamat.
“Kita sedia maklum demam denggi yang disebarkan nyamuk Aedes boleh menyebabkan kematian. Adakah DBKK mahu menjadi pembunuh?” soal beliau.
Penduduk khuatir dengan keadaan parit yang tersumbat akibat rumput yang kian memanjang dan menyebabkan air bertakung. Kami juga adalah pembayar cukai dan berhak untuk mendapatkan keadilan,tambah Azam.
–