Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyangkal laporan disiarkan media baru-baru ini mendedahkan berlaku satu penceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam dan jumlahnya meningkat setiap tahun.
Pegawai Tadbir Agama Negeri Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS, Abdul Rahim Salleh berkata isu berkaitan kes penceraian perlu dirujuk terlebih dahulu kepada pegawai jabatan setiap negeri sebelum disebarkan kepada umum bagi mendapatkan fakta yang sahih.
Menurutnya, sekiranya fakta dilaporkan tidak tepat, ia akan menimbulkan kebimbangan dan mengundang persepsi negatif di kalangan masyarakat.
“Bayangkan kalau kita duduk sembang selama sejam, empat pasangan bercerai, mustahil perkara ini boleh berlaku, secara peribadinya saya berpendapat laporan itu tidak benar,” katanya kepada Komuntikini di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam.
Memetik laporan disiarkan pada Mac lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam.
Menurut Dr Mashitah, jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.
Mengulas statistik kes penceraian di Selangor, Abdul Rahim berkata pada tahun 2010 dianggarkan lebih kurang 1,000 kes penceraian berlaku.
” Jumlah kes penceraian di negeri ini tidak pernah meningkat secara mendadak mengambil kira sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
*Contoh kiraan kasar:-
Sejam – 4 pasangan,
Sehari – 24 jam X 4 pasangan = 96 pasangan
*Sehari sebanyak 96 kes penceraian.
Seminggu – 96 X 7 = 672 pasangan
sebulan – 672 X 4 = 2688 pasangan
*Keseluruhannya, 2688 penceraian setiap bulan dilaporan di negara ini.