Ibu bapa disaran untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan pra-sekolah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) demi masa depan anak-anak mereka.
Ketua Puteri UMNO Kota Belud, Masnatu Satong berkata, usia bawah lima tahun merupakan usia formatif untuk membentuk minda manusia.
Beliau berkata pendidikan serta asuhan kanak-kanak memerlukan kaedah yang bersesuaian supaya mereka boleh menjadi individu yang berkeyakinan tinggi, berfikiran kreatif, berbudi pekerti dan cerdas pemikiran.
”Walaupun ada pepatah menyebut melentur buluh biar dari rebung, namun untuk melentur, kita perlu memahami rebung yang ingin dilentur itu ada banyak jenis dan ragamnya,”
”Jika ia dilentur dengan terlalu keras, akibatnya rebung tersebut akan terus lentur hingga tidak mampu untuk mendongak apabila menjadi buluh atau akan patah tanpa sempat menjadi buluh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan pakaian silat kepada 15 pelajar kanak-kanak Tadika Kemas Pusat B Kampung Jawi- Jawi, Kota Belud hari ini.
Guru Tadika Kemas, Darimata Hj. Toi dan ahli-ahli Puteri UMNO Kota Belud, turut hadir bersama di dalam majlis.
Beliau juga berkata, anak-anak yang dididik dengan kekerasan dan paksaan akan membesar sebagai insan yang sempit pemikiran sehingga hilang kecerdasan, malas dan bersikap kasar.
Tambah beliau, sokongan ibu bapa bukan sekadar dengan menghantar anak mereka ke pusat berkenaan, tetapi perlu aktif melibatkan diri dalam segala aktiviti yang dianjurkan pihak pengurusan tabika berkenaan.
“Kita harus bersyukur dengan usaha Kemas memperkenalkan pendidikan prasekolah khususnya pada masyarakat luar bandar.
”Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan segala kemudahan yang telah disediakan itu tidak dipersia-siakan
Jelasnya pendidikan awal khususnya pada peringkat prasekolah perlu diutamakan oleh ibu bapa kerana ia akan mencorakkan masa depan kanak-kanak tersebut.
Di peringkat ini nilai-nilai murni kehidupan akan dapat disemai ke dalam diri anak-anak dan di peringkat ini juga usaha mengenal pasti potensi kanak-kanak dapat dilakukan.
”Potensi yang telah dikenal pasti akan memudahkan usaha menggilap bakat dilakukan menjadikan pelajar tersebut cemerlang,” katanya.