Dua kanak-kanak lelaki adik beradik yang dilaporkan hilang oleh bapa petang semalam di sebuah pasar malam di Kamunting ditemui hari ini.
Kedua adik beradik berusia 7 dan 12 tahun itu ditemui oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada pukul 11 pagi tadi di sebuah rumah kosong di Kampung Setiajaya kira-kira enam kilomerter dari rumah mereka.
Bapa kanak-kanak tersebut, Nasaruddin Puteh, 43, seorang peniaga pasar malam berkata, kedua-dua anaknya disedari hilang pada pukul 8 malam tadi dan tidak pulang sehingga pagi ini lalu membuat laporan polis.
“Sebelum itu saya dan isteri membawa mereka ke pasar malam Kamunting untuk berniaga pada pukul 5 petang semalam,” katanya.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata, bertindak atas laporan itu, polis dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat telah mengadakan operasi mencari pada pukul 9 malam tadi dan dihentikan pada jam 12.00 tengah malam.
Operasi mencari yang disambung pagi ini dengan 14 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat telah menemui kedua-dua kanak-kanak itu bersama seorang lagi kanak-kanak disebuah rumah kosong.
Ketika ditemui ketiga-tiga mereka sedang tidur dan keletihan.
– Bernama