Pelaburan saham dapat meningkatkan potensi seseorang untuk membina kekayaan serta mencapai matlamat kewangan di masa depan.
Ini kerana pelaburan dalam saham membolehkan wang anda bekerja keras dan memberikan pulangan yang tinggi berbanding akaun simpanan.
Keuntungan yang diperoleh dari pelaburan juga dapat mengatasi inflasi serta memastikan kuasa beli wang yang kukuh.
Tetapi kekurangan ilmu serta rasa takut pada risiko dapat menghindari seseorang daripada melabur dalam saham.
Artikel ini bertujuan untuk memberi beberapa petua penting berkenaan pelaburan untuk pemula supaya dapat membantu anda melabur dengan lebih yakin.
Apa itu pelaburan saham?
Saham atau ekuiti merupakan sekuriti yang mewakili pegangan sebahagian kecil hak milik sesuatu syarikat. Ini memberi hak kepada pelabur kepada sebahagian aset dan keuntungan syarikat itu.
Di Malaysia, pelabur boleh menggunakan platform Bursa Malaysia untuk memperolehi maklumat serta menjalankan urusniaga jual belia saham
Syarikat syarikat menggunakan Bursa Malaysia sebagai tempat menambah modal dan berkongsi keuntungan atau kerugian bersama pelabur.
Belajar Melabur Saham
Sebelum bermula melabur dalam saham adalah penting untuk mencari ilmu pengetahuan berkenaan konsep asas pelaburan.
Pelabur harus mengenal pasti dan memahami istilah yang digunakan dan kaitannya antara keuntungan dan risiko. Ini adalah untuk mengelakkan daripada mengalami kerugian atau tertipu.
Melabur tanpa ilmu akan mengakibatkan kerugian disebabkan penilaian yang salah. Manakala ilmu yang diperolehi dapat membantu pelabur manjana keuntungan walaupun dalam masa berlakunya krisis di pasaran saham.
Pada zaman ledakan teknologi maklumat yang serba canggih ini, ilmu mengenai pelaburan saham dapat diperoleh dengan hanya menggunakan hujung jari.
Melalui carian di laman google, anda boleh mendapatkan ilmu mengenai jual beli saham dan cara mengenal pasti kaunter berpotensi dengan cepat, mudah dan percuma.
Cara buka akaun CDS dan perdagangan
Pelabur seterusnya memerlukan akaun perdagangan dan akaun CDS (Central Depository Service) untuk melabur.
Apabila pelabur melakukan urusan jual beli saham, modal tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun perdagangan.
Seterusnya akaun CDS akan digunakan untuk menyimpan semua maklumat mengenai saham yang dibeli itu.
Maklumat urusan jual beli saham ini akan dihantar melalui penyata email yang akan diterima oleh pelabur sebanyak dua kali setahun.
Apabila pelabur menjual saham tersebut, hasilnya akan dimasukkan semula ke dalam akaun perdagangan.
Akaun CDS boleh dibahagikan kepada akaun direct dan nominee. Bagi pemilik akaun nominee, syarikat broker akan dilantik sebagai penama untuk mengendalikan urusan jual beli saham dan boleh dikenakan caj oleh broker.
Akaun direct pula akan mencatatkan pelabur sebagai pemilik akaun. Pemilik akaun ini dapat melakukan urusan jual beli dengan terus dan dapat menghadiri mesyuarat tahunan yang dianjurkan syarikat itu.
Borang pendaftaran untuk membuka akaun CDS boleh diperolehi secara online di laman web rasmi Bursa Malaysia. Pemohon individu harus sertakan salinan MyKad sebagai dokumen sokongan.
Sebagai pemula, adalah lebih senang untuk pelabur memilih syarikat broker sah yang dapat membuka kedua-dua akaun perdagangan dan akaun CDS.
Syarikat broker tersebut akan melantik remisier ataupun ejen yang akan membuka akaun akaun tersebut serta menjadi orang tengah diantara pelabur dan institusi pelaburan.
Sediakan dana pelaburan
Adalah penting untuk menentukan matlamat melabur dalam saham sebelum menentukan dana untuk pelaburan.
Keuntungan daripada pelaburan saham adalah bergantung kepada dana serta tempoh pegangan iaitu jangka masa pendek, sederhana atau panjang.
Selain tempoh, risiko atau kerugian yang sanggup ditanggung oleh pelabur juga harus menjadi salah satu faktor sebelum menentukan dana yang berpatutan.
Sebagai pemula, anda digalakkan untuk menyediakan dana yang mampu hangus dahulu untuk melabur. Ini dapat ditentukan dengan mengasingkan 25 peratus daripada gaji atau pendapatan sebagai modal.
Bermula dengan langkah kecil melalui modal awal yang minima sekitar RM 1000 hingga RM 3000. Adalah penting untuk berdisiplin dan melabur secara konsisten untuk jangka masa panjang.
Menilai Prestasi Saham
Pelabur harus menggunakan kemahiran asas untuk menilai prestasi pasaran saham bagi meningkatkan potensi meningkatkan keuntungan dan mengelakkan kerugian.
Kemahiran analisa fundamental dan teknikal dapat membantu seorang pelabur menentukan kaunter saham yang berpotensi memberikan keuntungan.
Analisa fundamental adalah usaha mengenalpasti potensi keuntungan sesebuah syarikat dengan menilai kedudukan kewangan syarikat tersebut.
Pelabur harus mengkaji harga saham syarikat tersebut dari pelbagai sudut seperti persaingan di dalam industri, prestasinya di ekonomi negara, hala tuju syarikat dan sebagainya.
Ini berbeza daripada analisa teknikal yang mengkaji sejarah pergerakkan harga saham sesebuah syarikat.
Analisa teknikal adalah berdasarkan rukun bahawa harga saham akan mengikut trend dan cenderung untuk mengulangi corak yang sama di masa hadapan.
Pelabur dapat menggunakan salah satu daripada analisa ini atau menggabungkan kedua – duanya untuk menentukan harga yang tepat untuk membeli dan menjual saham supaya dapat memperoleh keuntungan.
Sebagai pemula adalah penting untuk catatkan maklumat seperti jumlah dana yang dilabur, harga beli dan jual dan matlamat melabur.
Ini akan membantu pelabur menghasilkan pelan perdagangan dan strategi pelaburan yang mampu meningkatkan keupayaan mendapatkan keuntungan melalui pelaburan.
Kesimpulan
Pelaburan saham telah membantu banyak pelabur untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Walaupun begitu bakal pelabur yang baru harus ingat bahawa disebalik kekayaan itu adalah penting untuk seseorang untuk menambah ilmu dan melabur dengan berdisiplin.
Dunia saham bukanlah tempat untuk mendapatkan duit yang pantas. Dengan matlamat yang jelas dan pelan yang betul, seorang pelabur pemula juga dapat peroleh kejayaan.