Masalah hak tanah orang asal diperdengar

KLUANG – 27 orang saksi telah tampil dan lapan dari 48 kes yang telah direkodkan di Johor telah dikemukakan di dalam sesi ini.

 

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah menjalankan satu sesi pendengaran awam untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kes-kes  hak tanah Orang Asal di Dewan Tunku Ibrahim, Kluang pada 9 dan 10 April.

Sesi pendengaran awam atau lebih dikenali sebagai inkuiri nasional,  termaktub di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999  yang merupakan satu mekanisme digunakan oleh Suhakam untuk meneliti isu hak asasi manusia untuk diselesaikan secara efisyen.

Sesi konsultasi awam ini diadakan di beberapa lokasi bermula pada bulan Jun hingga September 2011 dan telah merekodkan sebanyak 287 aduan di Semenanjung Malaysia.

Proses pendengaran ini bermula dengan memanggil saksi-saksi dari komuniti Orang Asal diikuti oleh saksi-saksi dari pihak syarikat iaitu Syarikat Seong Thye Plantation, Johor Corporation dan Kulim Berhad mengikut kategori dakwaan masalah hak tanah Orang Asal.

Setelah semua saksi tampil memberi keterangan, agensi dan jabatan kerajaan yang terbabit pula dipanggil untuk memberi respon dan menjawab persoalan yang berkaitan undang-undang, dasar dan prosedur.

Antara  jabatan dan agensi kerajaan yang tampil adalah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perikanan Daerah Kluang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kluang, Pejabat Tanah Daerah(PTD) Johor Bahru, PTD Batu Pahat, PTD Kluang, PTD Mersing, Jabatan Ukur dan Pemetaan Johor, Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian Johor, Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Perhilitan, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda)

Dalam sesi pendengaran awam kali ini, seramai 27 orang saksi telah tampil dan lapan dari 48 kes yang telah direkodkan di Johor telah dikemukakan.

Masalah hak tanah Orang Asal yang telah dikenal pasti dikategorikan kepada tujuh kategori iaitu pencerobohan, pentadbiran, projek pembangunan bandar, skim perladangan, rizab hutan simpan (Taman Negara, tadahan dan hidupan liar), rancangan penempatan semula dan pampasan.

Proses pendengaran awam yang dipengerusikan sendiri oleh Hasmy Agam selaku Pengerusi Suhakam disertai oleh Khaw Lake Tee,  Jannie Lasimbang dan perunding bebas, Collin Nicholas sebagai ahli panel.

Kluang merupakan lokasi kedua di Semenanjung Malaysia dalam siri jelajah SUHAKAM bagi sesi pendengaran awam ini selepas pejabat SUHAKAM Kuala Lumpur pada 27 hingga 30 Mac lalu.

Sesi pendengaran awam inkuiri nasional seterusnya akan berlangsung di Kelantan, Perak dan Pahang sehingga Mei ini manakala Sabah pada Jun 2012.

Amirull Salihing