Warga Iran dihukum mati kerana mengedar dadah

Warga Iran dihukum mati kerana mengedar dadah

Seorang lelaki warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,001 gram di KLIA, Sepang, pada Jun tahun lepas.

Seorang lelaki warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,001 gram di KLIA, Sepang, pada Jun tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman itu terhadap Rouhollah Ahmadzadeh Irandoust, 50, yang didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pemeriksaan Kastam ‘D’, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama KLIA, pada 3.50 pagi 14 Jun tahun lepas.

Rouhollah yang diwakili peguam Gooi Soon Seng didakwa mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Mohtarudin berkata tertuduh dalam pembelaannya menafikan bahawa dia membawa bagasi berisi dadah itu ketika tiba di KLIA, sebaliknya mendakwa seorang rakan bernama Mushtaba yang membawa bagasi itu.

“Tertuduh mendakwa ketika dia dan seorang lagi rakan diarah imbas bagasi di mesin pengimbas, Mushtaba telah menghilangkan diri untuk menghisap rokok sehinggalah mereka dibawa ke bilik pemeriksaan Kastam kerana terdapat imej mencurigakan pada bagasi itu.

“Tertuduh seharusnya tidak mengakui bagasi berisi dadah itu adalah miliknya walaupun terdapat tag namanya pada bagasi itu dan walaupun ada masalah bahasa seharusnya tertuduh menafikan bahawa bagasi berisi dadah itu adalah miliknya.

Mushtaba juga seharusnya tidak dibenarkan keluar dari barisan untuk menghisap rokok dan meninggalkan bagasi dengan tertuduh,” katanya.

Mohtarudin berkata keterangan saksi-saksi pendakwaan juga konsisten bahawa tertuduh yang telah mengeluarkan anak kunci bagasi tersebut serta pakaian yang terdapat dalam bagasi itu sesuai dipakai oleh tertuduh.

“Ini menunjukkan tertuduh mempunyai pengetahuan tentang dadah tersebut dan mempunyai  niat untuk melakukan kesalahan tersebut. Atas penilaian maksimum, pembelaan didapati gagal timbulkan keraguan yang munasabah terhadap pihak pendakwaan dan hanya satu hukuman di bawah undang-undang iaitu tertuduh dijatuhi hukuman mati,” katanya.

Sepanjang perbicaraan, seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan dua orang saksi.

Pendakwaan dijalankan oleh Rozanna Abdul Hadi daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

-Bernama