Kira-kira 25 orang individu menyertai satu ‘flash mob‘ di Seberang Jaya bagi mendesak kerajaan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dan juga menghentikan permainan politik.
Dianjurkan oleh sebuah NGO bernama Rakyat Ingin Malaysia Aman Sejahtera atau RIMAS, ‘flash mob’ tersebut juga bertujuan mendesak kerajaan untuk tidak mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat ini.
Jurucakap RIMAS, Mohd Azman Mohd Yusof berkata kerajaan pada hari ini patut menyelesaikan masalah kenaikan harga barang yang telah membebankan rakyat.
“Kenaikan ini memberi impak yang sangat besar kepada rakyat Malaysia khususnya golongan B40 dan M40.
“Kerajaan harus mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan permasalahan ini sebelum ia menjadi lebih parah lagi,” kata beliau lagi.
Beliau juga menegaskan, walaupun situasi ekonomi yang sedang meruncing, ahli politik masih sibuk berebut kuasa dengan mendesak keperluan untuk mengadakan pilihan raya. Kata beliau lagi, ahli politik seharusnya memikirkan masalah rakyat dan menjaga masalah rakyat.
“Rakyat sudah semakin rimas dengan situasi politik ini yang tidak pernah berkesudahan,” katanya.
Mohd Azman berkata dengan itu RIMAS ingin kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian kenaikan harga barang, memulangkan semula subsidi barang-barang keperluan asas dan menghentikan permainan politik.
Beliau berkata RIMAS akan terus memastikan hak dan kebajikan rakyat Malaysia terbela dan akan terus mendesak hingga kerajaan dapat mencari penyelesaian.