Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS) bersedia menerbitkan sukuk RM30.6 bilion – iaitu sukuk global terbesar dan terbitan bon tunggal terbesar di Malaysia sehingga ini.
Terbitan sukuk itu, yang dijadualkan pada 12 Januari, adalah berikutan langkah menjadikan syarikat persendirian PLUS Expressways Bhd (PEB), salah satu eksersais menjadikan syarikat persendirian terbesar di Malaysia dan penstrukturan semula konsesi tol di bawah PEB dan Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB).
Perjanjian konsesi lebuhraya itu akan dilaksanakan PLUS, anak syarikat milik penuh PLUS Malaysia Sdn Bhd (PMSB).
PMSB adalah jentera pelaburan UEM Group Berhad (51 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP, 49 peratus).
Hasil yang diraih dari terbitan sukuk itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian pembelian aset, liabiliti, perniagaan, tanggungan dan hak lima konsesi tol.
Ia termasuk Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd, Expressway Lingkaran Tengah Sdn Bhd, Konsortium Lebuhraya Butterworth-Kulim Sdn Bhd, Linkedua (Malaysia) Bhd dan PBSB.
Hasil yang diraih itu juga akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal dan keperluan pembiayaan am yang lain.
PLUS telah berjaya meraih pembiayaan jangka panjang itu melalui pewujudan Program Nota Jangka Sederhana Islam bernilai nominal sehingga RM34.35 bilion di dalam tempoh yang disingkatkan jika diambil kira saiz terbitan itu.
Pembayaran balik Sukuk itu adalah antara lima hingga 27 tahun dan pulangan purata berwajaran ialah kira-kira 5.0 peratus.
Sukuk itu diberikan penarafan jangka panjang tertinggi AAA(IS) oleh Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), yang mencerminkan kekukuhan kredit PLUS Bhd dan kepentingannya terhadap kerajaan Malaysia.
Satu majlis penandatanganan diadakan baru-baru ini sempena pewujudan dan terbitan suku itu.
Ia ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Datuk Izzaddin Idris dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Penanda tangan yang lain termasuk Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak. CIMB Investment Bank Bhd dilantik sebagai Penasihat Kewangan, Penasihat Utama Tunggal, Pengatur Utama Tunggal dan Pengurus Utama Bersama bagi transaksi itu.
Yang turut mewakili Pengurus Utama Bersama yang lain transaksi dan hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AmInvestment Bank Bhd Kok Tuck Cheong, Presiden dan CEO Maybank Group Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dan Pegawai Bertanggung Jawab RHB Investment Bank Mike Chan.
Mengulas mengenai transaksi itu, Izzaddin Idris berkata “kejayaan terbitan itu dan permintaan kukuh mendapatkan sukuk kita menunjukkan kefahaman mendalam dan kecairan pasaran tempatan. Ia juga satu petunjuk keyakinan pelabur terhadap operasi dan aset PLUS.
“Saya gembira bukan sahaja kita dapat menerbitkan dengan jayanya salah satu sukuk terbesar di dunia, kita juga berupaya memainkan peranan meningkatkan lagi kecemerlangan Malaysia di dalam pasaran modal Islam antarabangsa sejajar dengan aspirasi untuk mewujudkan Malaysia sebagai satu hab kewangan Islam.”
Shahril Ridza Ridzuan berkata “kami berkeyakinan pelaburan kami di dalam PLUS akan memberikan sumber pendapatan jangka panjang dan stabil yang melengkapi kriteria pulangan risiko KWSP.”
“Pelaburan ini adalah sebahagian dari peruntukan strategik aset keseluruhan kami ke dalam sektor kurang turun naik dan kejayaan eksersais meraih dana jangka panjang itu akan memastikan pulangan profil jangka panjang dan memadani keperluan liabiliti aset kami.”
Nazir mengulas mengenai signifikan majlis itu dengan menyatakan “majlis penandatanganan itu mewakili kejayaan usaha bersama kami dan saya berbangga menyatakan kami telah mencatatkan beberapa urus niaga mercu tanda sepanjang proses itu.”
“Pada nilai RM23 bilion, penyahsenarain PEB adalah eksersais menjadikan syarikat persendirian terbesar pada 2011 dan perisitiwa yang kedua terbesar di Malaysia.”
“Kami telah mengatur pinjaman bersindikit terbesar di dalam Asean pada 2011 di dalam usaha untuk membiayai langkah itu serta pembelian PBSB dari UEM Builders Berhad.
Tetapi, kejayaannya ialah terbitan sukuk itu – pada jumlah RM30.6 bilion, iaitu terbitan sukuk terbesar pernah dilakukan di dunia,” katanya.
– Bernama