Saifuddin: Akta IPTS perlu dipinda sekali dengan AUKU

Saifuddin: Akta IPTS perlu dipinda sekali dengan AUKU

Akta IPTS serta dua akta berkaitan institusi pengajian tinggi perlu dipinda bagi menjadikan pindaan terhadap Seksyen 15 Akta AUKU lebih komprehensif, kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) 1996 serta dua akta berkaitan institusi pengajian tinggi perlu dipinda bagi menjadikan pindaan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) lebih komprehensif, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya dua akta untuk pindaan bersama dengan AUKU ialah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 dan Akta Institusi Pendidikan (Disiplin) 1976.

Beliau berkata pindaan terhadap akta berkenaan perlu bagi membenarkan penuntut IPTS menyertai parti politik seperti mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerusi pindaan AUKU.

“AUKU hanya melibatkan IPTA dan tidak melibatkan IPTS. IPTS tertakluk di bawah Akta IPTS, yang memperuntukan Seksyen 40 yang hampir sama dengan Seksyen 15 AUKU.

Jadi ia harus dibawa sekali, kalau tak kita tak konsisten,” katanya kepada pemberita selepas menghakimi Pertandingan Akhir Pidato Piala Perdana Menteri anjuran Pemuda Barisan Nasional, hari ini.

See also  UTP rises in global rankings: A milestone for Malaysia

Saifuddin berkata kementerian akan mengemukakan cadangan pindaan kepada
Jemaah Menteri pada Mac tahun depan selepas proses rundingan dengan pihak-pihak berkaitan.

“Proses konsultasi yang meluas akan dibuat supaya semua pihak termasuk juga dengan pihak yang mungkin berasa risau ia (pindaan) akan menimbulkan masalah…kita akan berunding dengan semua pihak sebelum pindaan ini dibawa ke Kabinet dan seterusnya ke Parlimen,” katanya.

Saifuddin berkata pindaan yang dicadangkan itu bertujuan melindungi hak penyertaan mahasiswa dalam politik dan pada masa yang sama menjaga kepentingan universiti sebagai pusat pengajian.

Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan usul pemansuhan Proklamasi Darurat dan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 di Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda AUKU bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli mana-mana parti politik.

See also  APU and apoQlar to transform XR healthcare education

– Bernama