Dari Pejabat Menteri Besar Selangor
Individu yang dikatakan menipu pembeli rumah kos rendah di beberapa kawasan di Klang, Balakong, Selayang dan Cheras dengan mengambil sejumlah bayaran sebagai deposit bukan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor.
Individu yang menggunakan nama Mohd Yatim Dato’ Abu Bakar untuk memperdaya pembeli rumah dengan mengambil sejumlah wang sebagai deposit, tidak pernah bekerja dan tidak wujud di Pejabat Menteri Besar Selangor.
Sehubungan itu, dakwaan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) yang menuduh pegawai Menteri Besar Selangor terlibat dalam penipuan ini adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
Kita maklum ketika pentadbiran UMNO BN terdapat koata politik bagi pembelian rumah kos rendah dan banyak penyalahgunaan kuasa dan banyak penyelewengan yang berlaku..
Justeru, sejak mengambil alih pentadbiran 2008 Kerajaan Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk memansuhkan kuota politik samada secara nyata mahupun tersirat dalam segala bentuk bantuan kepada rakyat.
Jelas sekali individu ini yang didakwa menggunakan kuota politik untuk menipu adalah bukan kakitangan Pejabat Menteri Besar Selangor.
Kami telah meminta mangsa membuat laporan polis sebaik sahaja dimaklumkan oleh beberapa pembeli rumah yang terpedaya yang telah datang sendiri ke Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan kepastian mengenai status individu berkenaan.
Malah, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah membuat laporan polis terhadap individu berkenaan sebanyak empat kali berdasarkan maklumat yang diterima daripada mangsa.
Kami berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat aduan ini dan mengheret individu ini dan pihak lain yang mungkin bersekongkol ke mahkamah untuk didakwa dan dikenakan hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
Ditegaskan sekali lagi, Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Menteri Besar dan LPHS tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau individu untuk mengutip bayaran bagi mendapatkan rumah kos rendah atau perkhidmatan lain.
Sekiranya melibatkan bayaran, ia sepatutnya dibayar terus kepada Kerajaan Negeri atau agensi kerajaan dan bukan melalui orang ketiga.
Dengan penjelasan ini, kami berharap tiada lagi pihak yang mengaitkan individu atau penipuan ini dengan Pejabat Menteri Besar Selangor dan menasihatkan pihak-pihak berkenaan supaya tidak cuba ‘menangguk di air keroh” untuk memburuk-burukkan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.