Empat atau lima orang dilaporkan cuba membunuh diri di Singapura setiap hari. Sekurang-kurangnya seorang berjaya.
Doktor dan pekerja sosial perubatan berkata mereka yang cuba membunuh diri kini merebak di kalangan lebih muda, lapor The Straits Times.
Harian itu menyebut Ketua Perkhidmatan Sosial Perubatan, Hospital Besar Singapura (SGH), Esther Lim sebagai berkata masalah itu pernah menjejas orang-orang tua saja, tetapi pada tahun-tahun kebelakangan ini ia merebak di kalangan mereka dalam usia 30an dan 40an.
Bagi mereka, penyebabnya biasanya adalah perhubungan yang gagal dan hutang yang besar, kata beliau.
Kadar percubaan bunuh diri ini berdasarkan maklumat hospital. Hospital lebih besar seperti SGH dan Hospital National University (NUH), berkata mereka menangani satu kes sehari.
Hospital kecil seperti Hospital Khoo Teck Puat menangani kes itu selang sehari.
– Bernama