Adun Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samat bersama kakitangan Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat N. 59 Dun Tanjung Batu mengadakan Program Ziarah Ramadan dengan melawat golongan yang kurang bernasib baik untuk menyampaikan sumbangan.
Kira-kira 70 orang yang kurang berkemampuan menerima sumbangan berupa barangan makanan dan wang tunai terdiri warga emas, ibu tunggal, balu, anak yatim dan orang kurang upaya dalam Dun Tanjong Batu.
Dalam ucapan ringkasnya, Hamisa menggesa para pemimpin masyarakat membantu kerajaan mendaftarkan golongan kurang bernasib baik bagi memudahkan penyaluran bantuan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Beliau berkata, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) perlu proaktif membantu kerajaan membantu golongan kurang bernasib baik.
Menurutnya, usaha itu perlu diberi perhatian supaya tidak ada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan fakir miskin tercicir daripada menerima bantuan.
”Bantuan kerajaan kepada golongan ini adalah penting bagi meringankan beban mereka terutama ketika menghadapi Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya selepas mengadakan Ziarah Ramadan sepanjangan bulan yang mulia ini.