Masalah jalan rosak dan longkang yang tidak diselenggara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas dijangka akan selesai awal Ogos ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah tersebut dibawah peruntukkan RM1 juta oleh Kerajaan Negeri.
Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin itu berkata, antara kawasan dikenal pasti adalah Taman Sentosa, Desawan, Sungai Kandis dan Kampung Jawa.
“Kawasan DUN saya telah menerima senarai dari ketua kampung dan hari ini (semalam) saya sedang meneliti kawasan manakah yang perlu didahulukan dalam projek ini.
“Peruntukkan yang diberikan hanyalah untuk membaiki longkang atau parit serta jalan raya yang rosak dan bukan untuk masalah lain,” katanya ketika mengadakan lawatan ke beberapa kawasan di DUN Seri Andalas, hari ini.
Menurutnya, kerosakan jalan dan longkang ini dijangka akan selesai awal bulan Ogos dan proses pembaikan ini dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan yang terjejas.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM56 juta untuk projek pembaikpulih jalan dan pembersihan longkang di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Selangor.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew berkata, pihaknya telah memberi arahan kepada kesemua ADUN dan Penyelaras DUN untuk menyerahkan senarai tersebut kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing hujung bulan ini.
Menurutnya, senarai tersebut merupakan perkara penting yang meliputi pembaikan jalan, penurapan jalan, pembersihan longkang dan sebagainya dikawasan DUN mereka.