Mungkin ramai yang tidak tahu jawapan kepada soalan ‘Dimanakah eksperimen pertama kenderaan berkusyen udara, atau lebih dikenali sebagai hoverkraf, bagi tujuan ketenteraan dilakukan? ”
Jawapan kepada soalan ini mungkin akan mengejutkan ramai rakyat Malaysia kerana eksperimen yang pertama sebenarnya telah dijalankan di negara kita, dan bukannya di negara barat seperti anggapan ramai.
Secara spesifiknya, ianya telah dijalankan di Tawau, yang terletak di pantai timur Sabah, dan ini mungkin mengejutkan penduduk Tawau itu sendiri.
Perkara ini didedahkan oleh seorang sukarelawan Peace Corps, Gus Breymann, dari Amerika Syarikat dalam artikelnya bertajuk ‘ A Sabah Sojourn’, yang pernah berkhidmat di Tawau dipertengahan tahun 60an dahulu.
‘Konflik peperangan dunia ketika itu, termasuk di Asia Tenggara, membuka lebih banyak ruang untuk menguji senjata-senjata dalam keadaan pertempuran sebenar,’ katanya.
Dalam artikel tersebut, Tentera Laut Diraja British memutuskan untuk menguji Hoverkraf SR.N5 (Saunders Roe Nautical-5 ) dengan fungsi ketenteraan pada awal tahun 1965.
Ketika itu beliau telah berada di Tawau sebagai sukarelawan mengajar di Government Junior Secondary School (GJSS) yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau (SMK Tawau).
Beliau berkesempatan melihat ujian ini dijalankan kerana ia dibuat di kawasan pantai yang terletak berhampiran dengan tempat tinggal beliau.
Dan menurut beliau lagi, kemungkinan besar ujian tersebut adalah yang pertama kalinya dibuat di dunia.
Kata Breymann, “ Malah, kemungkinannya, ia adalah ujian-ujian aplikasi ketenteraan yang pertama bagi hoverkraf di dunia.”
“Dua model awal hoverkraf telah diletakkan di bandar Tawau selama beberapa bulan dan dinilai bagi tujuan pengawalan pantai serta bantuan logistik tentera Komanwel di Pulau Sebatik dan barat muara Tawau.” tambah beliau.
Beliau menggambarkan kenderaan tersebut tidak bermaya seolah-olah seperti seekor itik yang sedang duduk diatas sarang yang diperbuat dari getah, rendah, mencangkung dan tidak bergerak apabila tidak dihidupkan.
Tetapi apabila dihidupkan, ianya sangat pantas, bising dan dapat menampung 12 anggota tentera.
Bagi beliau, ciri penting kenderaan tersebut adalah pada kelajuannya.
Bunyi hoverkraf tersebut boleh didengar sehingga berbatu-batu jauhnya apabila ia digerakkan di perairan Teluk Cowie terletak diperairan laut di hadapan bandar Tawau .
“ Bukan sahaja ianya bising, tetapi ia mempunyai bunyi yang berlainan daripada mana-mana pesawat atau kapal. ‘
”Tentunya orang-orang Indonesia boleh mengenal pastinya dengan mudah,” kata Breymann sambil menambah yang hoverkraf tersebut dibina oleh British Hovercraft denganmenggunakan enjin tunggal turbin Rolls Royce.
Pada suatu hari, semasa beliau sedang menyaksikan perlawanan bolasepak di padang bandaran Tawau, dua orang anggota tentera laut Amerika menghampiri beliau.
Menurut beliau, ianya suatu pertemuan yang agak janggal kerana dia dan para sukarelawan yang lain tidak pernah melihat tentera Amerika di Tawau.
Mereka juga merasa terkejut melihat sukarelawan Peace Corps berada di situ.
“ Mereka berada di sana untuk memerhatikan penggunaan kedua-dua hoverkraf tersebut dalam senario perang.”
‘Perbualan kami ringkas tetapi menyenangkan,” ujar beliau lagi.
Lebih kurang dua tahun selepas itu, pihak tentera laut Amerika mula menggunakan hoverkraf seumpama itu di Delta Mekong, iaitu pada awal tahun 1967, tetapi dengan versi yang lebih besar iaitu SR.N6.
Breymann tertanya-tanya samada versi yang lebih besar tersebut merupakan hasil pengubahsuaian daripada lawatan pemerhati tentera Amerika tersebut.
Semasa Perang Teluk pula, tentera laut Amerika turut menggunakan model lain yang dipanggil Landing craft/air cushioned (LCAC) dan penggunaannya sangat berkesan, menurutnya lagi.
Samada versi lebih besar ini bermula selepas lawatan tersebut, apa yang Breymann tahu adalah, ia bermula di Borneo.
“ Daripada apa yang kita tahu, innovasi laut seumpama ini bermula di bandar perairan Borneo.” kata Breymann yang pernah kembali ke Tawau pada tahun 1999 setelah 34 tahun meninggalkan bandar itu dan kini menetap di Michigan, Amerika.