Felda ingin memperluas ladang di tanah hak adat bumiputera di Sarawak

Felda ingin memperluas ladang di tanah hak adat bumiputera di Sarawak

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk membangunkan tanah hakadat bumiputera (NCR) yang masih belum dimajukan dengan tanaman kelapa sawit,kata pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata Felda tidak menghadapi sebarang masalah untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana negeri di Malaysia, termasuk Sarawak untuk membangunkan kawasan tanah seperti NCR kerana agensi itu memang cukup berpengalaman dalam penanaman cara perladangan.

“Kita bergantung kepada tanah, jika kerajaan negeri ada tawarkan tanah, kita sedia kerjasama untuk melaksanakan program tanaman seperti yang kita pernah buat pada penanaman getah dan sawit di Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di Ladang Felda Sempadi.

Mohd Isa berkata setakat ini, belum ada sebarang perbincangan rapat antara Felda dan kerajaan negeri Sarawak namun Felda akan mengambil tindakan susulan selepas pilihan raya ini.

Tindakan susulan itu, katanya berikutan kenyataan Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud di Miri baru-baru ini yang amat mengalu-alukan kerjasama dengan Felda dan beberapa syarikat tempatan dalam membangunkan tanah NCR untuk tanaman kelapa sawit.

Beliau berkata setakat ini Felda hanya mempunyai sebuah ladang kelapa sawit seluas 7,650 hektar di Sempadi tetapi ianya bukan tanah NCR.

– Bernama